Kota Bharu: Seorang tahanan polis meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas diserang sawan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, lelaki berusia 48 tahun sebelum itu tiba-tiba mengalami kekejangan.
Katanya, anggota bertugas kemudian menelefon pihak hospital dan suspek dibawa menaiki ambulan untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, suspek dilaporkan meninggal dunia pada 7.20 malam kelmarin akibat sawan dan hasil bedah siasat mendapati berlaku pendarahan otak dan tiada sebarang kecederaan luar ditemui.
“Suspek yang juga gelandangan sebelum itu ditahan polis di Jalan Maju, di sini, pada Selasa lalu, selepas menerima aduan kerana berisiko membahayakan orang awam.
“Sewaktu tangkapan dilakukan, suspek membawa sebilah pisau dan dalam keadaan meracau tidak sedarkan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa, di sini.
Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod sebagai pesakit sawan selain memiliki dua rekod jenayah.
Sumber: My Metro