LONDON – Sadio Mane menegaskan dia ‘tidak berfikir dua kali’ untuk menyertai Bayern Munich dari Liverpool walaupun menerima tawaran lain kerana ia adalah ‘kelab yang sebenar dan masa yang sesuai untuk berhijrah’.
Bintang Senegal itu melengkapkan perpindahan £35 juta (RM189.06 juta) ke kelab Bundesliga dan menandatangani perjanjian selama tiga tahun di Allianz Arena bernilai kira-kira £250,000 (RM1.35 juta) seminggu seterusnya menamatkan enam musim di Anfield semalam.
Skuad Jurgen Klopp keberatan untuk melepaskan penyerang itu musim panas ini tetapi pemain itu menyatakan keinginan mahu meninggalkan Merseyside pada penghujung musim.
Dan kini dia mendedahkan sudah bersedia mencari cabaran baharu selepas ‘mencapai apa dimahukan’ bersama Reds.
Bercakap pada sidang akhbar ketika diperkenalkan bersama Bayern, Mane mendedahkan keputusan menyertai Bayern Munich selepas dia berbibcang dengan pengurus, Julian Nagelsmann.
“Saya memilih Bayern Munich kerana mereka begitu meminati saya,” katanya.
“Saya bercakap dengan ejen saya dan projek itu adalah yang terbaik buat saya, walaupun saya ada menerima tawaran lain. Bayern ialah kelab sebenar dan masanya sesuai untuk berhijrah dan datang ke sini untuk melakukan yang terbaik dan membantu pasukan menang lebih banyak trofi.
“Saya berjumpa jurulatih yang amat penting untuk mengetahui projek itu. Apabila dia bercakap kepada saya mengenai pasukan, cara mereka bermain dan taktik, saya tertarik.
“Saya terus melihat diri saya di sana. Saya tidak berfikir dua kali. Ia pasukan untuk saya. Saya melihat diri saya dalam pasukan itu dan saya harap dapat membantu pasukan mencapai sesuatu secara bersama.”
Selepas membantu Reds mara ke tiga final Liga Juara-Juara, Mane percaya dia boleh mencapai kejayaan sama bersama Bayern.
Sumber: BERITA HARIAN