Tak Perlu Tunggu Kaya, Belanja Makan Merupakan Cara Mudah Kongsi Rezeki!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rezeki merupakan salah satu pemberian Allah yang tidak ternilai. Setiap sesuatu yang diberikan oleh Allah adalah untuk keperluan rohani dan jasmani juga merupakan salah satu rezeki.

Firman Allah bersabda yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagiamu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak akan menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, Allah SWT menyuruh kita untuk terus berusaha bagi mendapatkan akhirat dan jangan melupakan dunia terutamanya dalam mencari rezeki yang halal dan diberkati oleh Allah SWT serta jangan melakukan perkara yang Allah tidak suka.

Rahmat Allah SWT begitu luas kepada makhluk-Nya sehingga setiap kelahiran dan ciptaan lahir bersama jaminan rezeki agar kita tidak perlu terlalu bimbang tentang rezeki. Dalam erti kata lain, konsep rezeki sangat luas. Rezeki adalah apa saja nikmat yang Allah berikan dan apa jua yang kita nikmati.

Di saat kita dapat merasai sesuatu rezeki, masih ramai di luar sana yang tidak berpeluang untuk rasa apa yang kita rasa selama mereka hidup di dunia. Jadi, yang paling utama adalah kita jangan pernah mengeluh dengan apa yang kita milki pada saat ini.

Untuk mendapatkan rezeki yang halal dan baik, hendaklah kita berusaha dan bekerja dengan usaha kita seperti hadis:

Maksudnya: “Apakah pekerjaan yang paling baik? Jawab Baginda Rasulullah: “Amalan seorang lelaki dengan tangannya dan setiap jualan yang baik.” (Hadis Riwayat Ahmad, 17265)

Maka, beruntung bagi mereka yang telah berusaha menjadikan rezeki yang diperoleh sebagai jalan membuat kebaikan seterusnya mendapat keredaan Allah SWT. Oleh itu, terdapat banyak jalan yang boleh dipilih bagi memastikan rezeki yang diperoleh dapat dikongsi bersama orang lain antaranya:

1. Berinfak Harta Ke Jalan Allah

Infak bermaksud seperti kita menginfak pada pembangunan masjid atau surau. Selain itu, jika ada pusat pengajian yang perlukan dana, maka kita boleh bantu dengan sebaiknya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 265)

2. Makanan Dikongsi Bersama

Dalam kesenangan dan kemewahan yang kita nikmati, masih ada lagi golongan yang memerlukan makanan dan keperluan harian untuk kehidupan. Selain itu, perkongsian makanan boleh dilakukan melalui makanan yang sengaja dibeli lebih untuk disedekahkan kepada sesiapa yang memerlukan. Nikmat yang cukup besar apabila ada mereka yang sudi berkongsi makanan dengan mereka walaupun hanya sebuku roti dan air mineral.

3. Membantu Golongan Yang Tidak Berkemampuan Khususnya Kaum Kerabat Yang Terdekat

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik sedekah adalah yang di luar keperluan (yang sudah cukup untuk keperluan dirinya). Maka mulakanlah pemberian untuk orang yang menjadi tanggunganmu.” (Hadis Riwayat Bukhari, 1426)

Kadang-kadang kita terlalu ingin membantu mereka yang jauh dari kita sedangkan masih ramai kaum kerabat, jiran tetangga yang menghadapi kesusahan dalam kehidupan mereka. Membantu mereka bukan dari segi kewangan sahaja, malah membantu mereka dari segi emosi dan sokongan terhadap apa yang mereka lakukan.

Oleh itu, tidaklah rugi dan tidak akan berkurang bagi sesiapa yang berkongsi rezeki yang dia miliki bersama manusia dan binatang. Bahkan, tidak miskin bagi sesiapa yang bersedekah kerana ganjaran pahala amat besar di sisi Allah jika amalan tersebut kita lakukan dengan ikhlas.

Justeru, berdoalah kepada Allah agar kita dikurniakan rezeki yang halal lagi baik supaya rezeki kita diberkati dan dapat kita kongsikan rezeki itu bersama orang lain.

Sabda Rasulullah: “Ya Allah ampunkanlah dosaku, lapangkanlah rumahku dan berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan.” (Hadis Riwayat Tirmizi, 3500)

Sumber: MSTAR