Tak sempat ke hospital, wanita lahirkan bayi di balai bomba

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Shah Alam: Seorang wanita selamat melahirkan bayi perempuannya dalam kereta di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik, Seksyen U8 dekat sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian pada jam 7 malam, wanita berusia 29 tahun itu difahamkan dalam perjalanan ke hospital bersama suaminya.

“Pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Puncak Alam ke Hospital Shah Alam.

“Bagaimanapun, wanita itu merasa sakit dan air ketubannya sudah pecah lalu mereka memasuki perkarangan BBP Kota Anggerik untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, wanita itu kemudian selamat melahirkan bayi perempuan dengan bantuan pegawai bomba, Norsyuhadah Ahmad.

Katanya, bayi itu kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ) untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, insiden berkenaan dikongsi di Facebook Bomba Channel yang mana tindakan anggota bomba yang sedia membantu itu mendapat pujian masyarakat.

Sumber: My Metro