Tak sempat mula berniaga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tanah Merah: Sembilan peniaga menanggung kerugian selepas kedai mereka musnah dalam kebakaran di Pekan Bukit Bunga di sini, kelmarin.

Kejadian jam 9.15 pagi itu berlaku ketika peniaga sedang membuat persediaan membuka premis masing-masing.

Peniaga, Rohana Che Daud, 60, berkata, ketika kebakaran dia baru sampai dan sedang membuat persediaan membuka perniagaan pakaian serta makanan.

Katanya, dia melihat asap tebal dan api dari kedai berdekatan sebelum merebak ke premis lain.

“Api merebak terlalu cepat kerana peniaga di sini kebanyakan menjual pakaian dan cenderamata.

“Saya dan peniaga lain tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaan. Saya terkejut dengan kejadian itu kerana kami baru saja dibenarkan kembali beroperasi selepas ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rohana yang berniaga sejak lebih 10 tahun lalu berkata, akibat kebakaran itu dia menanggung kerugian lebih RM70,000 apabila keseluruhan barangan perniagaannya musnah.

Ibu sembilan anak yang tinggal di Kampung Lalang Pepuyu berkata, dia buntu memikirkan nasib dan tidak tahu mencari modal bagi memulakan perniagaan memandangkan dia cukup terkesan dengan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Mohd Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.22 pagi.

“Sebaik sampai, api sedang marak dan pihak bomba melakukan operasi memadam kebakaran. Pihak kami turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.49 pagi. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber: My Metro