Takdir Sesuatu Yang Telah Ditetapkan Allah, Bolehkah Ia Diubah?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Menurut Ketua Program Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni, menegaskan ada dua perkara yang boleh dibincangkan mengenai ketentuan atau takdir.

Pertama mengenai soal ketentuan dan takdir itu adalah rahsia Allah SWT. Contohnya, setiap manusia sememangnya tidak mengetahui mengenai jangka hayat hidupnya.

Allah telah berfirman dalam surah Lukman ayat 34:

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Begitu juga berkaitan dengan rezeki. Kita tidak tahu berapa jumlah rezeki yang kita akan peroleh dan dalam bentuk keadaan rezeki yang bagaimana. Kesemuanya adalah rahsia Allah.

Maka, kesemua itu adalah ketentuan dari Allah. Tiada kebetulan dalam kehidupan ini. Segala-galanya direncanakan dengan sesempurna mungkin oleh Pencipta. 

Kemudian Allah menjawab segala berkaitan rahsia-Nya itu dalam surah Lukman ayat 59:

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuzh).”

Berdasarkan kepada tafsiran ayat di atas, maka jelaslah bahawa rahsia takdir ini sangat kompleks. Kita tidak mempunyai keupayaan untuk memikirkannya dengan lebih mendalam.

Oleh kerana itu, junjungan besar Nabi Muhammad SAW tidak membenarkan umatnya terlalu memikirkan tentang persoalan takdir seperti yang diterangkan dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Tabrani,

“Jika sahabatku menyebut perkara takdir, maka hentikanlah mereka (membahas takdir).”

Perubahan Takdir

Menurut Dr. Kamaluddin lagi, meskipun takdir itu telah ditetapkan oleh Allah sejak usia mencapai 40 hari dalam kandungan ibu, tetapi ianya masih lagi boleh berubah.

“Kalau saya katakan bahawa takdir boleh berubah, kemungkinan besar ramai yang tidak setuju dan merasa hairan kemudian bertanya, “takdir boleh diubah?”

Bukankah dalam riwayat penciptaan manusia itu, malaikat ditugaskan mencatat tentang rezeki dan hidup matinya ketika usia mencecah 40 hari dalam kandungan?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Dr. Kamaluddin menjelaskan tentang dua bahagia Qada’ iaitu Qada’ Mubham dan Qada’ Mu’allaq.

Qada’ pertama yang disebut Mubham itu merupakan segala ketentuan Allah yang memang pasti akan berlaku. Sama ada manusia itu menginginkannya, atau mengelak daripadanya, tetapi perkara ini pasti. Sebagai contohnya kematian.

Manusia tetap tidak akan hidup untuk selama-lamanya meskipun sembunyi di tempat mana sekalipun. Sampai masa, manusia tetap akan mengadap ilahi.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Anbiya’ ayat 35:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan.”

Qada’ Mubham juga disebut oleh Allah

“Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia,”surah al-Ra’d (11).

Begitu juga seperti yang diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Muslim.

“Sesungguhnya Tuhan berkata kepadaku: Wahai Muhammad! Sesungguhnya Aku kalau sudah menentukan sesuatu, maka tiada seorang pun yang sanggup menolaknya.”

Manakala, Qada’ Mu’allaq adalah takdir yang bergantung dan bersyarat. Qada’ ini boleh jadi berlaku kepada manusia, dan boleh jadi juga tidak berlaku, meskipun telah ditetapkan oleh Allah.

Bahkan ianya bergantung kepada usaha manusia itu sendiri. Ketentuan dalam bahagian ini disampaikan oleh Allah kepada malaikat, lalu disimpan olehnya. Firman Allah yang berkait rapat dengan Qada’ ini ialah melalui surah ar-Ra’ad ayat 11:

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” Wallahu a’lam

Sumber: UTUSAN TV