Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi memutuskan penularan Covid-19 turut memberi kesan terhadap operasi taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan taman didikan kanak-kanak (Tadika).
Bagi membantu kelangsungan operasinya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan khas berjumlah RM3,000 secara one-off menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Menerusi Pemulih, 4,400 pengusaha Taska di bawah seliaan kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menerima Bantuan Khas Taska berkenaan.
Bantuan itu turut membabitkan 8,000 pengusaha Tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.
Pengumuman dan bantuan itu disambut baik oleh pengusaha yang terkesan dengan pandemik berkenaan.
Presiden Persatuan Pengusaha dan Pendidik Awal Kanak-kanak Kuala Lumpur (PTKL) Husen Mohd Yusof Khan berkata, bantuan diumumkan menerusi Pemulih membantu kelangsungan operasi taska dan tadika.
Menurutnya, seperti tahun lalu, operasi taska dan tadika terkesan kerana ibu bapa tidak menghantar anak mereka.
“Dengan keadaan sekarang, ramai ibu bapa tidak lagi menghantar anak ke taska mungkin disebabkan mereka bekerja dari rumah atau mahu mengurangkan komitmen bulanan.
“Walaupun jumlah anak yang dihantar ke taska berkurangan, bayaran sewa, gaji pekerja tetap dibayar seperti biasa.
“Jadi, dengan adanya bantuan one-off RM3,000 ini, ia dapat membantu kami bayar komitmen sewa bulanan atau perkara lain,” katanya.
Husen berkata, taska dan tadika adalah satu keperluan terutama kepada ibu bapa yang bekerja dan yakin apabila keadaan sudah kembali pulih, operasi akan kembali seperti biasa.
“Dalam keadaan sekarang, ramai pengusaha taska terpaksa menutup sementara operasi dan ada juga yang menjual terus perniagaan mereka.
“Ada juga yang tetap bertahan dan meneruskan operasi dengan mencari inisiatif sendiri bagi menampung kos operasi dalam keadaan yang sukar ini.
“Justeru, dengan bantuan ini, ia meringankan sedikit bebanan tetapi kami pengusaha taska dan tadika sangat berharap jika kerajaan dapat memberikan bantuan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cakna Anak Malaysia Muhammad Shukri Nor Mokles berkata, bantuan khas itu membantu kelangsungan operasi untuk terus bertahan dalam keadaan yang sukar ketika ini.
“Untuk bertahan kebanyakan pengusaha taska dan tadika mengambil pelbagai inisiatif termasuklah mengurangkan gaji tenaga pengajar,” katanya.
Menurutnya, selain bantuan diberikan secara one-off itu, bantuan lain seperti latihan percuma khusus taska dan tadika yang berdaftar dibawah Perkeso juga sangat membantu.
“Buat masa ini, cikgu tidak perlu mengajar di taska disebabkan penutupan dan pengecilan operasi semasa PKPD ini.
“Dengan adanya bantuan latihan percuma dari Perkeso ini, mereka boleh mengikuti latihan disediakan,” katanya.
“Walaupun ia bantuan one-off, tetapi dengan adanya bantuan lain, ia boleh dimanfaatkan sekali gus meringankan beban pengusaha taska.
“Saya mencadangkan supaya inisiatif ini dilonggarkan kepada pengusaha yang dalam proses pendaftaran,” katanya.
Sumber: My Metro