KUALA TERENGGANU – Taman awam pantai Batu Burok, di sini, ditutup buat sementara waktu berkuatkuasa semalam sehingga 7 Jun depan bertepatan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lukema Meri Salleh berkata, penutupan taman awam itu dibuat kerana sikap pengunjung yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkumpul.
“Sikap masyarakat yang berkumpul tanpa mematuhi SOP termasuk membawa anak kecil berkumpul menyebabkan tindakan penutupan taman awam pantai Batu Burok terpaksa dilakukan.
“Tindakan penutupan taman awam itu antara kaedah bagi mengelakkan berlaku penularan pandemik Covid-19 kalangan komuniti,” katanya.
Justeru itu katanya, pihak MBKT telahpun memasang pagar menghalang kemasukkan pengunjung ke kawasan rekreasi taman awam Pantai Batu Burok berkenaan.
Sementara itu, beberapa taman rekreasi termasuk di Bukit Besar juga akan ditutup sementara sepanjang tempoh PKP sehingga 7 Jun depan.
Sumber: My Metro