Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter Tarikan Baharu di PSKT

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) kini tampil dengan daya tarikan baharu iaitu Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter yang mula dibuka kepada pengunjung mulai semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, tarikan baharu itu merupakan kali kedua dibina selepas lima tahun lepas.

“Yang menariknya, kali ini kita perkenalkan lebih banyak spesies dinosaur termasuk spesies daripada Malaysia, terutamanya yang dijumpai di negeri Kelantan dan Terengganu”, beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Galeri Bertema Dinosaur Ecounter di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) semalam.

Tambahnya lagi, taman didik hibur ini merupakan hasil kerjasama PSKT bersama dengan Wegrow Global yang menjadikan PSKT ini merupakan lokasi keenam di Malaysia selepas beberapa lokasi yang lain seperti Pusat Sains Negara, Zoo Melaka, Zoo Teruntum dan lain-lain.

Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter ini bertemakan ‘Outlast the Past’ dengan mengentengahkan pengenalan spesies mangsa dan pemangsa dengan dinosaur Tyrannosaurus rex (T-rex) sebagai pemangsa Apex iaitu pemangsa yang dikategorikan paling tinggi dalam rantaian makanan.

Menurutnya lagi, pameran galeri ini diharap mampu menambah minat pelajar-pelajar untuk datang ke PSKT bagi meneroka lebih banyak Ilmu sains dan teknologi selain dapat belajar prasejarah purba berkaitan hidupan dinosaur secara visual.

“Daripada semasa ke semasa, kita ada pelbagai aktiviti terutamanya dalam bidang sains seperti Pertadingan Drone, Robotik dan pelbagai pertandingan yang berasaskan kreativiti yang merupakan sebahagian daripada program yang kita rancang daripada awal tahun lagi”, tambahnya.

Sempena bulan kemerdekaan ini juga, PSKT bakal mengadakan Pertandingan Push Bike bakal disertai kanak-kanak dari seluruh Malaysia seawal dua hingga sembilan tahun yang akan bertanding di PSKT ini pada 31 Ogos ini.

– UNIT BERITA MANIS FM