Taman Eko Rimba, Hutan Taman Negeri di Pahang Dibuka 4 Januari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan membuka semula 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) pada 4 Januari ini yang ditutup sementara berikutan musim tengkujuh.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata pihaknya menutup sementara TER dan HTN sejak 1 November lalu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun katanya, jabatan masih menutup semua kawasan pendakian dan aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpanan Kekal sehingga diberitahu kelak.

Menurutnya, dengan pembukaan semula TER dan HTN memberi peluang kepada pelancong untuk datang melakukan aktiviti riadah bersama keluarga sambil menikmati keindahan air terjun, jeram dan hutan semula jadi.

Katanya, JPNP menasihatkan kepada mereka yang ingin berkunjung ke TER dan HTN supaya mematuhi syarat ditetapkan, sebagai contoh mereka perlu mendapat nasihat keadaan semasa daripada pegawai JPNP atau pejabat hutan daerah.

“Pengunjung yang mengunjungi TER dan HTN juga perlu sentiasa menjaga kebersihan, tidak melakukan pembakaran secara terbuka bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Bagi yang merindui TER Mossy Forest, Cameron Highlands mereka boleh berekreasi dan melawat kawasan eko pelancongan berkenaan yang merupakan antara produk pelancongan terkenal di negara ini,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pelancong yang ingin ke TER Mossy Forest mereka perlu menggunakan perkhidmatan kenderaan pacuan empat roda daripada operator pelancongan swasta, kenderaan persendirian atau tanpa menggunakan operator tempatan tidak dibenarkan naik ke kawasan terbabit.

Regina Mariah berkata pengunjung dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan jika terdapat sebarang perubahan cuaca atau keadaan sekitaran.

“Sekiranya hujan, pengunjung diingatkan segera meninggalkan kawasan terdapat jeram dan air terjun kerana kemungkinan berlaku kepala air,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN