Tanah Mendap Berlaku Berdekatan Lokasi Tanah Jerlus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR — Kejadian tanah mendap dilihat berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.

Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku sekitar 2.30 pagi tadi selepas hujan lebat dan ribut pada malam tadi.

Bagaimanapun, tinjauan di lokasi mendapati kawasan itu telah ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang awam juga tidak dibenarkan berada di lokasi berkenaan.

Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari  Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Suliezmy Affendy Sulaiman ketika ditemui pemberita mengesahkan berlaku kejadian mendapan tanah di Jalan Masjid India.

Beliau berkata perbincangan sedang dilakukan untuk memperluaskan penutupan jalan dan  perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

— BERNAMA