Tanah runtuh Batang Kali: 5 lagi mayat ditemui, jumlah mangsa maut meningkat kepada 16

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU SELANGOR: Lima lagi mangsa disahkan maut dalam tragedi tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali dekat sini, setakat jam 1 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 16 orang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, lima mangsa terakhir yang ditemui itu membabitkan tiga wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Di peringkat awal, kita sudah mengeluarkan 61 mangsa yang terselamat yang kemudiannya dibawa ke Balai Polis Ulu Yam.

“Beberapa lagi mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Katanya, pasukan penyelamat kini fokus terhadap usaha mencari dan menyelamat (Op SAR) 17 lagi individu yang masih hilang.

“Pencarian 17 lagi mangsa yang masih hilang itu berfokus di sektor A dan sektor B yang terjejas teruk,” katanya.

Sumber: METRO ONLINE