Tanah runtuh Batang Kali: Dua maut, 51 belum ditemui

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BATANG KALI: Setakat ini telah dilaporkan bahawa dua orang meninggal dunia manakala 51 lagi masih belum ditemui dalam tragedi tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, di sini pada Jumaat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tanah runtuh itu pada jam 2.24 pagi.

Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang dan BBP Genting Highlands telah dikejarkan ke lokasi.

“Dilaporkan, kejadian tersebut telah berlaku di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.

“Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Jumaat.

Tambahnya, maklumat dikemas kini setakat jam 7 pagi tadi mendapati seramai 79 mangsa yang berada di tapak perkhemahan tersebut terlibat dengan kejadian runtuhan yang berlaku.

“Seramai 23 orang dalam keadaan selamat, dua orang meninggal dunia, tiga cedera dan 51 orang masih tidak ditemui.

“Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh pihak bomba serta dibantu bersama oleh agensi lain iaitu Persatuan Bomba Sukarela, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pasukan SMART,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu, maklumat dari semasa ke semasa akan dikemas kini sehingga operasi selesai.

Sumber: SINAR HARIAN