Mendidik anak berpuasa merupakan suatu perkara yang sangat baik kerana ia menunjukkan bahawa ibu bapa tersebut mengambil berat dalam memastikan anak-anak mudah untuk mengikuti segala perintah Allah.
Bagi anak-anak yang pernah berpuasa di bulan Ramadan pada tahun sebelum ini, mereka tetap berdepan cabaran meskipun dengan cara berlainan. Dalam Islam, puasa merupakan rukun Islam yang ketiga wajib ditunaikan mengikut syaratnya oleh setiap yang bergelar Islam.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bersabda bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada mereka yang sebelum daripada kamu supaya kamu menjadi orang yang bertakwa.”
Bagaimanapun, anak-anak yang berumur sembilan tahun tidak diwajibkan untuk menunaikan ibadah puasa kerana mereka masih lagi belum mencapai akil baligh. Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dalam melakukan perkara ibadah.
Terdapat hadis Rasulullah yang menceritakan sahabatnya mendidik anak-anak mereka berpuasa ketika masih kecil. Sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Barangsiapa yang bangun pagi berpuasa (tanpa makan) hendaklah dia menyempurnakan puasanya, dan barangsiapa yang bersarapan paginya hendaklah dia menyempurnakan sisa hari itu (tanpa makan). Sahabat berkata; Kami kemudiannya berpuasa padanya (pada hari ‘Asyura) dan menjadikan anak-anak kami berpuasa. Kami pergi ke masjid dan membuat mainan daripada bulu untuk mereka dan apabila ada yang berasa lapar dan menangis untuk makanan, kami memberikan mereka mainan ini sehingga tiba waktu berbuka puasa”. (Hadis Riwayat Muslim 1136)
Berdasarkan hadis di atas jelas menunjukkan bahawa membimbing anak-anak berpuasa akan mendapat ganjaran pahala dan ia merupakan satu sunnah Rasulullah dan diamalkan oleh sahabat baginda.
Terdapat beberapa cara untuk mengajar anak-anak mengenai ibadah puasa yang sesuai dengan usia mereka. Antaranya ialah:
1. Kongsikan Tentang Puasa Pada Anak-Anak
Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak-anak bahawa puasa itu bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, malah ada juga amalan lain seperti solat tarawih, sahur dan berbuka puasa.
Selain itu, memberitahu kepada mereka bahawa puasa ini ibarat kita dapat merasai kesusahan golongan yang kurang berkemampuan kerana tiada makanan untuk makan dan minum.
2. Latih Puasa Secara Berperingkat
Ibu bapa juga perlu melatih anak-anak berpuasa separuh hari sebagai permulaan. Kemudian, barulah dipanjangkan tempohnya sedikit demi sedikit supaya anak tidak terkejut apabila berpuasa.
3. Tidak Memaksa
Seterusnya, ibu bapa tidak perlu memaksa anak mereka untuk berpuasa penuh jika anak masih kecil. Ini kerana, ibu bapa perlu membiarkan mereka cuba berpuasa mengikut kemampuan mereka sendiri.
4. Mengajar Anak Cara Berniat Puasa
Meminta anak bacakan niat puasa secara berulang kali bersama kita. Ibu bapa boleh menulis dan menampal bacaan niat di dinding bilik anak supaya mereka boleh menghafal niat puasa tersebut iaitu: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
5. Lakukan Aktiviti Seperti Biasa Bersama Anak
Langkah yang seterusnya pula ialah ibu bapa perlu meluangkan masa banyak bersama anak-anak bagi melupakan kepenatan puasa mereka seperti bermain bersama mereka, membaca buku, menonton cerita yang bermanfaat dan sebagainya.
Sekiranya mereka masih tidak larat untuk berpuasa, ajarkan mereka untuk tidur pada waktu terluang.
6. Tanamkan Rasa Malu
Kadangkala anak-anak kita masih belum bersedia untuk berpuasa kerana mereka belum kenal erti puasa yang sebenarnya. Malah, mereka perlu makan ketika orang lain sedang berpuasa. Jadi, didiklah anak untuk berakhlak mulia dengan ajarkan mereka sifat malu untuk makan di depan orang yang sedang berpuasa.
7. Latih Anak Untuk Sahur Dan Berbuka Puasa Bersama
Akhir sekali, ibu bapa perlu melatih anak bangun untuk bersahur sebelum masuk waktu Subuh kerana ada keberkatannya sebagaimana hadis Rasulullah yang bersabda bermaksud:
“Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (Hadis Riwayat Muslim, 1095)
Setelah selesai bersahur, ajaklah anak-anak kita untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Ini kerana untuk mengeratkan lagi hubungan bersama anak dengan menunaikan solat bersama dan makan bersama apabila tiba waktu berbuka puasa walaupun anak kita tidak mampu untuk berpuasa penuh dalam sehari.
Walaupun ini bukan mudah sebenarnya bagi kanak-kanak untuk memulakan ibadah puasa lebih-lebih lagi ia merupakan perkara pertama kali yang perlu dilakukan dalam hidupnya tetapi dengan didikan, bantuan dan nasihat yang baik daripada ibu bapa, pasti anak-anak boleh lakukannya secara baik.
Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mengajarkan mereka sesuatu perkara secara berperingkat, sedikit demi sedikit dan bukan secara paksaan yang boleh membawa penyeksaan terhadap anak-anak.
Bimbinglah anak-anak supaya sentiasa mencintai Allah dengan mengikuti segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya agar hatinya sentiasa semangat untuk melakukan ibadah kepada Allah.
Sumber: MSTAR