Tanaman terung jadi tarikan murid ke sekolah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA KRAI – Idea kebun terung yang dicetuskan oleh guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Manik Urai Baru di sini berjaya membangkitkan minat 480 murid untuk ke sekolah.

Usaha yang dimulakan sejak 1 Mac lalu itu bagaimanapun terganggu akibat ancaman pandemik Covid-19 yang kembali mengganas di negeri ini sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diharungi lagi.

Guru Besar SK Manik Urai Baru, Mohd Rolsan Hasan berkata, projek fertigasi tersebut dilaksanakan di bawah Program Tranformasi Sekolah Cabang TS 25 yang bertujuan untuk meningkatkan peratusan kehadiran murid di sekolah yang terletak di kawasan pedalaman itu.

Katanya, rekod kehadiran harian murid sekitar 80 peratus sememangnya tercapai selaras dengan ketetapan pihak kementerian namun beliau berpandangan jauh untuk menjadikan murid lebih teruja dan bersemangat untuk ke sekolah.

“Saya sasarkan peningkatan kehadiran kepada 90 peratus dan daripada itu tercetus idea tanaman terung ini dengan melibatkan setiap murid yang bermasalah untuk hadir ke sekolah diberi tanggungjawab untuk menjaga pokok terung mereka pada setiap hari agar sentiasa subur.

“Idea ini berkesan apabila mereka mula menunjukkan minat datang ke sekolah pada setiap pagi bagi memastikan pokok terung mereka mendapat air yang cukup dan tidak mati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Hasil terung yang dituai oleh Guru Besar SK Manik Urai Baru, Mohd Rolsan Hasan (dua dari kiri) dimasukkan ke Tabung PIBG sekolah berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, usaha tersebut sedikit terencat disebabkan situasi Covid-19 yang masih belum reda menyebabkan sesi persekolahan bersemuka di Kelantan kembali ‘direhatkan’ lagi namun hasil tanaman di kebun terung tidak mengecewakan.

“Setakat ini, sudah dua kali dituai dengan jumlah 110 kilogram (kg) iaitu 50 kg hasil tuaian pertama pada minggu lalu manakala 60 kg terung dituai pada Ahad.

“Hasil jualan sekitar RM660 pertama ini dapat menambahkan kewangan Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini dan akan digunakan untuk perlaksanaan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada murid,” katanya.

Hasil tanaman terung selepas berbudi kepada tanah seluas 0.2 hektar di SK Manik Urai Baru.

Dalam pada itu, Mohd Rolsan berkata, penglibatan murid bersama 45 guru dan 11 kakitangan sekolah turut didokong kuat oleh PIBG dari segi sumbangan dana, kepakaran serta teknologi pengairan dan pembajaan terhadap tanaman.

“Selain terung, warga SK Manik Urai Baru juga memanfaatkan tanah terbiar milik sekolah seluas 0.2 hektar dengan menanam lada solok dan cili padi.

“Kakitangan sekolah bertugas sepenuhnya secara giliran bagi proses menyiram dan membaja kebun manakala murid pula bertanggungjawab memastikan pokok masing-masing hidup segar serta membuahkan hasil,” katanya.

Sumber: Sinar Harian