Rompin: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyeru lebih banyak pihak membabitkan diri dalam bidang penananam nanas, khususnya jenis MD2, yang masih kurang penghasilannya, sedangkan permintaan di pasaran amat tinggi.
Pengerusi LPNM Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya menawarkan pelbagai bantuan kepada pemain industri yang berminat dengan tanaman itu, termasuk latihan dan menjadi pemudah cara dalam pemberian insentif bagi meningkatkan pengeluaran nanas negara.
“Setakat kini, kapasti negara untuk mengeluarkan nanas ialah 4,000 tan metrik dengan nilai lebih RM500 juta setahun. Walaupun begitu, jumlah tersebut masih belum mencukupi bukan sahaja untuk pasaran nanas MD2 di luar negara, bahkan juga untuk pasaran tempatan.
“Kita sudah merancang untuk melebarkan sayap penanaman nanas ke Sabah bagi meningkatkan pengeluaran dan meluaskan penanamannya dari 16,000 hektar kepada 20,000 hektar, selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.
Dr Sahruddin ditemui pemberita pada Program Lawatan Kerja ke Rompin Integrated Pineapple Plantation (RIPP) dan Penyampaian Insentif PRE Prihatin di Kampung Tanam di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh, Pengurus Besar Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd (RIPI) Mohd Hiswandi Aris dan Pengurus Besar Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Mohd Mazlan Sharudin.
Pada majlis itu, Dr Sahruddin juga menyampaikan insentif PRE Prihatin kepada pengeksport nanas iaitu pihak RIPI antaranya 130 unit bakul pemasaran buah, dua unit mesin pengikat dan lapan unit tali pinggang pengikat.
Untuk rekod, projek RIPP mula dibangunkan pada Oktober 2010 dan siap sekitar April 2015 dengan kos pelaburan hampir RM50 juta di bawah ECERDC, dan pelaburan swasta sebanyak RM180 juta, dengan luas keseluruhan tanah ialah 575.24 hektar.
Objektif projek itu antaranya ialah mengurangkan jurang perbezaan ekonomi dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat terutama masyarakat Orang Asli, mewujudkan peluang keusahawanan dengan sistem pemasaran efisien, selain menarik pelaburan swasta berskala besar.
RIPI adalah syarikat utama yang bertanggungjawab menguruskan ladang Koperasi Orang Asli Kampung Tanam Rompin Berhad dan aspek pemasaran, sementara usahawan kontrak RIPI bertindak membeli kembali nanas yang dikeluarkan.
Hasil nanas MD2 daripada projek itu dijenamakan sebagai ROMPINE dan dieksport ke luar negara termasuk Bahrain, Mesir, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Oman, Arab Saudi, China serta Jepun.
Dr Sahruddin berkata, usaha meningkatkan jumlah pengeluaran nanas di ladang sedia juga sedang diusahakan iaitu daripada 15 peratus kepada 50 peratus, bagi memaksimimumkan keuntungan.
“Jika dibandingkan antara buah nanas MD2 dan durian Musang King, tidak dinafikan durian Musang King lebih popular dalam kalangan masyarakat. Tetapi perlu diingat nanas MD2 tidak bermusim dan dapat dituai sepanjang masa.
“Justeru buah ini memiliki kelebihan berbanding durian Musang King yang walaupun mahal harganya, hanya mengeluarkan hasil pada musimnya. Selain itu, tempoh pengeluaran hasil yang lebih cepat bagi nanas memberikan pulangan yang lebih baik,” katanya.
Sumber: My Metro