Tanda Kiamat Pertama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kita sering mendengar tanda kiamat kecil dan besar. Tetapi bilakah bermulanya tanda kiamat?

Nabi Muhammad SAW telah mengatakan mengenai tanda-tanda kiamat kepada sahabat dan perkhabaran tersebut telah sampai kepada kita melalui alim ulama.

Apakah yang dimaksudkan dengan nabiyussa’ah?

Nabiyussa’ah bermaksud nabi saat terjadinya kiamat. Baginda sendiri telah memberitahu bahawa terutusnya Baginda adalah sebagai bukti hampir datangnya Hari Kiamat.

Terutusnya Nabi SAW adalah gambaran pertama kiamat yang semakin mendekati manusia akhir zaman. Baginda Nabi SAW telah menyempurnakan agama dan memberi panduan kepada umat Baginda bagi mengharungi kehidupan di akhir zaman.

Mengapakah digambarkan kiamat dengan nabi diutuskan melalui jari telunjuk dan jari tengah?

Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah seperti ini dan ini. Dan hampir sahaja Hari Kiamat mendahuluiku.”  (Hadis Riwayat Ahmad)

Ayat ‘ini dan ini’ dalam hadis tersebut merujuk kepada jari telunjuk dan jari tengah Baginda. Jadi telunjuk adakah kiamat, manakala jari tengah pula merujuk kepada Baginda diutuskan. Baginda Nabi SAW menjelaskan bahawa kedudukan Hari Kiamat amat hampir dengan baginda ketika diutuskan oleh Allah SWT.

Terdapat dua pandangan ulama berkaitan hadis tersebut. Isyarat jari telunjuk dan jari tengah bermaksud situasi kiamat semakin hampir ketika baginda diutuskan seperti rapatnya kedudukan dua jari tersebut.

Isyarat jari telunjuk dan jari tengah bermaksud saat baginda diutuskan dengan hampirnya kiamat seperti panjang jari tengah daripada jari telunjuk. Jari telunjuk adalah Hari Kiamat manakala jari tengah adalah saat baginda diutuskan.

Saat Nabi diutuskan dengan kehidupan kita pada saat ini telah melebihi 1,400 tahun. Adakah kiamat sangat hampir untuk berlaku?

Saat bermulanya tanda kiamat sehingga ke hari ini adalah satu tempoh yang telah lama berlalu. Kewafatan baginda Nabi SAW melebihi 1,400 tahun. Justeru itu, manusia yang masih lagi hidup pada hari ini adalah golongan yang berada pada situasi akhir zaman yang menunggu tibanya Hari Kiamat.

Al-Qurtubiy dalam kitab al-Tazkirah menjelaskan: “Tanda pertama ialah Rasulullah SAW kerana baginda adalah rasul akhir zaman. Baginda diutuskan dan tidak akan ada lagi rasul selepasnya sehingga hari kebangkitan semula.”

Situasi kiamat yang dikhabarkan ini adalah ramalan atau tanda?

Setiap percakapan baginda bukan berdasarkan akal, namun melalui wahyu daripada Allah SWT. Nabi SAW memberitahu mengenai kejadian yang akan terjadi sehingga hari Kiamat. Ini kerana Allah SWT telah memperlihatkan kepada baginda tentang perkara ghaib yang akan terjadi.

Namun, Allah SWT sahaja yang mengetahui masa sebenar akan berlaku kiamat. Tiada seorang manusia pun yang mengetahui bilakah Hari Kiamat akan berlaku kecuali Allah SWT.

Apakah tujuan utama perkhabaran tentang bermulanya tanda kiamat ini?

Gambaran pertama kiamat ini adalah satu bentuk motivasi untuk beribadah dan sentiasa bersedia dengan mempersiapkan diri dengan amal soleh dan bertaubat kepada Allah SWT. Manusia tidak boleh alpa dan lalai daripada mengingati Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka. Sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).”  (Surah al-Anbiya’ ayat 1)

Kehidupan manusia akhir zaman ini adalah tempoh yang singkat. Berusahalah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah selagi masih ada sisa-sisa terakhir umur kita. Segeralah melakukan kebaikan dan tinggalkan kemungkaran.

Sumber: HARIAN METRO