Tanggal gelang ‘pink’, pergi kebun dan surau

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Lipis: Seorang lelaki dikompaun RM5,000 semalam kerana menanggalkan gelang merah jambu serta melanggar arahan kuarantin di rumah.

Lelaki berusia 47 tahun dari Kampung Perlak, Padang Tengku, di sini, dikatakan keluar ke kebun dan surau dalam tempuh perintah kuarantin itu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, tindakan kompaun terhadap lelaki itu dibuat hasil pemeriksaan pasukan pemantau di rumahnya berdekatan pekan Padang Tengku.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu cuai kerana tidak memakai gelang merah jambu malah tidak berada di rumah tetapi pergi ke tempat lain termasuk ke kebun dan surau,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kompaun dikenakan mengikut Seksyen 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Menurutnya, sepatutnya dalam tempoh kuarantin itu, dia mesti berada di rumah dan sentiasa memakai gelang merah jambu seperti diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Turut dikenakan kompaun ialah seorang lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting dan penganggur berusia 24 tahun di tempat sama.

“Keduanya dikenakan kompaun masing-masing berjumlah RM1,500 seorang kerana tidak memakai pelitup muka semasa berada di dalam premis,” katanya.

Azli berkata, kompaun dikenakan kerana mereka secara terang-terang tidak memakai pelitup muka ketika polis membuat pemeriksaan di kedai gunting rambut di Jalan Lipis – Benta.

“Kita akan terus membuat pemeriksaan mengejut ke atas premis, kediaman dan bank di semua lokasi termasuk penduduk yang masih dalam kuarantin bagi memastikan pematuhan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mengenakan kompaun bagi membantu kerajaan mengawal dan mengurangkan penularan Covid-19 yang dilaporkan semakin meningkat,” katanya.

Sumber: My Metro