Tanggungjawab Setiap Individu Muslim

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Semua umat Islam seharusnya mengamalkan amar makruf nahi mungkar. Hal ini kerana amar makruf nahi mungkar juga amat penting dalam Islam kerana kedudukannya juga sebaris dengan kewajipan utama lain seperti solat, zakat, puasa dan haji.

Amar makruf nahi mungkar merupakan ciri utama terpenting sebagai umat Islam terbaik sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali Imran ayat 110)

Selain menunaikan amalan fardu seperti solat, zakat, puasa dan menunaikan haji, umat Islam juga bertanggungjawab melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam  kehidupan seharian.

Konsep amar makruf nahi mungkar ini merupakan pendekatan bagi menyelesaikan gejala sosial dalam masyarakat. Kesedaran masyarakat Islam melaksanakan amar makruf nahi mungkar sudah pasti akan menghasilkan satu komuniti masyarakat harmoni dan sejahtera.

Allah menegaskan dalam al-Quran mengenai akibat umat terdahulu yang lalai dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Membiarkan amalan maksiat berleluasa dalam masyarakat akan membawa bencana bukan sahaja kepada orang yang berdosa malah akan menimpa kepada masyarakat umumnya.

Oleh itu, umat Islam bukan sahaha diwajibkan untuk menjauhi diri dari perbuatan yang dilarang Allah, tetapi juga wajib mencegah perbuatan terlarang itu daripada merebak dalam masyarakatnya.

Selanjutnya, Rasulullah memberikan panduan kepada umat Islam adab mencegah kemungkaran apabila dilihat berlaku dalam kehidupan seharian.

Sabda baginda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kamu yang ternampak kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya atau mencegahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu dengan tangannya maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) juga dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu juga maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, amar makruf nahi mungkar wajib dilaksanakan selaras dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan sunah Rasulullah.

Amar makruf mempunyai pengertian yang amat luas merangkumi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Setiap umat Islam bertanggungjawab untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar berdasarkan kepada kemampuan dan kuasa yang ada pada mereka.

Dengan penglibatan daripada semua pihak dalam menjayakan amar makruf nahi mungkar, kerahmatan Ilahi akan menjelma memayungi kehidupan ummah sejagat.

Sumber: HARIAN METRO