DAR ES SALAAM, 6 Sya’ban 1442 H, Ahad – Naib Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan pada Jumaat mengangkat sumpah sebagai presiden wanita pertama di negara itu, dua hari selepas kematian Presiden John Magufuli.
Samia mengangkat sumpah di pejabat presiden di bandar Dar es Salaam dalam upacara yang disiarkan menerusi televisyen tempatan.
Dalam ucapannya sejurus mengangkat sumpah, Samia berkata, mayat Magufuli akan dibawa ke beberapa tempat di seluruh negara dalam beberapa hari untuk diberikan penghormatan terakhir oleh orang ramai.
Katanya, Magufuli akan dikebumikan di kampung halamannya di Chato pada 25 Mac ini.
Samia yang mengumumkan kematian Magufuli, 61, dalam siaran televisyen pada Rabu menyatakan ‘presiden meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dihidapinya selama 10 tahun’.
Pengumuman itu mengakhiri spekulasi mengenai keadaan kesihatan presiden termasuk khabar angin bahawa beliau dijangkiti Covid-19.
Reuters melaporkan, dengan perwatakan yang lemah lembut, Samia bakal menjadi presiden pertama negara yang dilahirkan di Zanzibar, kepulauan yang menjadi sebahagian dari kesatuan Republik Tanzania.
Di bawah Perlembagaan negara, Samia akan berkhidmat sebagai Presiden Tanzania selama lima tahun bagi tempoh sepenggal. – Agensi