Tarian Sufi Rumi : Memutar tubuh menghayati cinta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Kredit : Pinterest

Bagi setiap orang yang melihat persembahan tarian rumi pasti menyukai dan menzahirkan kekaguman mereka.  Bagaimana tidak, pemakaian yang unik di mana jubah sang penari dan sekkenya (topi panjang) akan turut berputar ketika sang penari berputar menghasilkan gemalai persembahan yang mengasyikkan. Manakala dari sudut persembahan pula yang membuat orang ramai terpegun adalah keseragaman sang penari menari lawan arah jam yang sentiasa kekal tenang dalam putaran-putarannya yang berulangkali. Para penari kelihatan sungguh terbuai di dalam tarian yang menghadirkan dzauq cinta ilahi. Sungguh, Tarian Rumi ini tarian yang cantik dan mengasyikkan di samping tarian yang bernaung di sebalik budaya Turki.   

Ketika membicarakan Tarian Sufi Rumi, lagu M. Nasir  bertajuk “Bila Rumi Menari” terus terngiang-ngiang di minda. Bibir mula bergerak laju mengikut rentak lirik-lirik yang bermain di minda. Siapa sangka ada penyanyi tempatan yang mendendangkan kisah sang sufi Mawlana Rumi.

Kita menari bukan sebarang tarian

Asalnya dari tanah orang-orang pilihan

Bila terdengar masnawi ciptaan maulana

Ku bunuh nafsu lebur rantainya dari badan

Hingga hilang bangga diri

Berani hidup berani mati

Bagai musafir bertemu janji

Ini Darwis sudah gila berahi

Kita tak rindu pada siasah dunia

Perangkapnya membuat manusia hampa

Untuk bertemu impian bukan percuma

Mengorbankan yang tersangat kita cinta

Bagai Yunus dimakan paus

Ibrahim tak makan api

Bertemu kekasih di malam kudus

Luka di badan tak terasa lagi

Pukullah rebana jantungku bersyairlah maulana

Aku mabuk hakiki mendengar suaramu

Sayang… pada mereka yang tak mengerti

Sayang… pada hati tertutup mati

Bagai sangkar tanpa penghuni

Burung berharga terlepas lari

Rindu (ya maulana)

Kembali bertemu (ya maulana)

Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)

Rindu (ya maulana)

Kembali bersatu (ya maulana)

Kembali bersatu dengan yang dikasihi

Siapakah pengasas Tarian Rumi?

Kredit : Mozaiksufi

Mawlana Rumi atau nama penuhnya Jalaluddin Muhammad bin Muhammad al-Balkhi al-Qunuwi lahir di Balkh, Afghanistan pada 604 H atau 30 September 1207. Beliau digelar dengan gelaran Rumi kerana sebahagian besar hidupnya dihabiskan di Konya (kini Turki), yang dahulu dikenal sebagai daerah Rum (Roma). Pada waktu beliau lahir Konya merupakan naungan Empayar Seljuk.


Rumi dilahirkan di dalam keluarga ilmuwan. Bapa beliau, Bahauddin Walad Muhammad bin Husein, adalah seorang ulama besar bermadzhab Hanafi. Kerana ketinggian penguasaan ilmu agamanya, bapanya digelar sebagai Sulthanul Ulama (raja ulama). Atas beberapa faktor, Bahauddin bersama keluarganya hidup berpindah- pindah dari suatu negara ke negara lain. Mereka pernah tinggal di Sinabur (Iran timur laut). Dari Sinabur pindah ke Baghdad, Makkah, Malattya (Turki), Laranda (Iran tenggara) dan terakhir menetap di Konya, Turki. Raja Konya Alauddin Kaiqubad, mengangkat bapa Rumi sebagai penasihatnya, serta menjadikan beliau  sebagai pimpinan sebuah perguruan agama yang didirikan di ibukota tersebut.


Bapa Rumi adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Rumi seorang yang celik agama. Selain berguru dengan bapa beliau, Jalaluddin Ar-Rumi juga turut berguru dengan Burhanuddin Muhaqqiq at-Turmudzi yang merupakan sahabat bapa beliau. Setelah Burhanuddin wafat, Rumi menggantikannya sebagai guru di Konya. Dengan pengetahuan agamanya yang luas, Rumi memimpin sebuah madrasah yang mempunyai murid seramai 4000 orang. Sebagai seorang ulama, beliau juga memberi fatwa dan menjadi tumpuan umatnya untuk bertanya dan mengadu. Beliau bukan sahaja berperanan sebagai guru yang mengajar, namun juga merupakan seorang pendakwah dan mufti agama.

Sejarah Tarian Rumi

Di dalam bahasa Inggeris tarian sufi Rumi ini dikenali sebagai Whirling Dervish.  Tarian ini telah diperkenalkan sejak abad ke 13 selepas guru spiritual Mawlana Rumi yang bernama Syamsuddin Tabriz guru meninggalkan beliau. Setelah pemergian gurunya, beliau bergelumang dengan kesedihan yang mendalam. Bagi mengekspresikan kesedihannya beliau  berputar-putar dan ini memberi kesedaran kepada beliau bahawa sesungguhnya manusia itu fana.

Berdasarkan sejarah, sebenarnya tarian ini telah dimulakan oleh Saidina Abu Bakar berdasarkan hadis ini :

Pada suatu hari saat Sayyidina Rasulullah SAW khutbah Jum’at, datanglah seorang Arab Badwi seraya bertanya kepada Sayyidina Rasulullah SAW,

“Ya Rasulullah SAW, kapankah kiamat itu datang?”. Sayyidina Rasulullah SAW tidak menjawab, Beliau hanya diam. Badwi  Arab itu terus bertanya sampai 3 kali hingga Sayyidina Jibril A.s datang menghadap Sayyidina Rasulullah SAW dan berkata, “Tanyakanlah padanya apakah bekal yang dia bawa untuk menyambut hari kiamat itu?”.

Lalu Sayyidina Rasulullah SAW menyampaikannya dan orang Badwi Arab itu menjawab, “Bukankah aku memiliki Cinta kepadaMu Ya Rasulullah SAW.” Dan Sayyidina Rasulullah berkata, “Cukuplah itu membuatmu berdekatan dengan orang yang kau cintai seperti dua jari yang berdekatan. ”Dan seketika itu juga orang Badwi Arab itu pergi tanpa mengikuti sholat jum’at.

Saat mendengar percakapan itu, Sayyidina Abu Bakar Shiddiq RA yang selama ini risau akan pertanyaan yang sama, bertanya kepada Sayyidina Rasulullah SAW, “Ya Sayidina Rasulullah SAW, apakah cukup hanya dengan Cinta?”. Kemudian Sayyidina Rasulullah SAW menjawab, “Syarat yang utama adalah Cinta!”.

Mendengar jawapan itu, hati Sayyidina Abu Bakar Shiddiq RA sangat gembira, kebahagiaan yang terpancar dari jiwa beliau menyebabkan beliau mulai berputar dengan jubahnya. Setelah sekian lamanya, akhirnya muncul semula tarian ini ini yang dikembangkan oleh Mawlana Jalaluddin Rumi. Tindakan yang dilakukan oleh Mawlana Jalaluddin Rumi, seorang sufi yang juga merasakan cinta yang hampir sama kepada gurunya Mawlana Syamsuddin At-tibrizi.

Setelah kewafatan Rumi, tarekat ini diperkembangkan oleh anak muridnya yang bernama Husam. Setelah kematian Husam, anak Mawlana Rumi yang bernama Sultan Walad  kemudiannya mengambil alih dan terus mengawal atur organisasi tarekat ini. Sehingga hari ini, Thariqat Mawlawiyah atau Mevlevi, menjadi terkenal dan tarian ini kekal menjadi seni yang dipertontonkan di seluruh dunia.

Pergerakan Tarian Sufi Rumi

Penari Sufi akan memakai kostum khas berupa baju jubah berukuran besar dengan bagian bawah yang melebar dan memakai topi Panjang yang dikenal sebagai sikke. Di Timur Tengah, sikke melambangkan batu nisan para wali dan sufi. Dan bagi pelapik kaki pula, penari Sufi akan menyarungkan kuff.

Saat melakukan tarian Sufi, para penari dituntut untuk tenang, fokus, mata harus fokus menatap satu titik, senantiasa terbuka, dan tidak melirik. Manakala kepala juga tidak boleh bergerak dan perlu berada di satu titik. Dengan cara ini, penari Sufi dapat mengekalkan kedudukannya tanpa memeningkan kepala tidak kira berapa lama tarian dipersembahkan.   

Makna Tarian Sufi Rumi

Tarian ini merupakan tarian spiritual kerana semasa menari, bunyian seruling atau zikir atau alunan muzik tradisional akan didendangkan. Ada ketikanya bacaan kitab mathnawi akan turut dimainkan ketika  tarian dipersembahkan. Sebelum menari, para penari perlu membaca dzikir terlebih dahulu. Ketika tarian dipersembahkan, para penari dituntutuntuk meninggalkan keghairahan terhadap keduniaan dan mencapai penyatuan dirinya dengan dzauq ketenangan ilahi.

Ketika para penari tiba di bahagian Devr-i Veled, mereka akan membongkokkan badan . Ia memberi makna pengakuan akan nafas Ilahi yang telah meniupkan nafas kehidupan dan roh pada manusia. Seterusnya pada peringkat selanjutnya, para penari akan berputar di sekitar pemimpin tari berlawanan dengan arah jarum jam sambil menadahkan tangan meminta doa. Perbuatan tersebut  adalah simbolik sang hamba yang meminta dan ingin mendapat hidayah dari Tuhan. Putaran ini turut memberi makna rangkulan kemanusiaan penuh cinta serta melambangkan putaran alam semesta dan putaran tawaf di Ka’bah.

Kredit : Google Image