KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 tempat bagi melihat anak bulan Zulhijah iaitu pada petang Sabtu, 10 Julai ini bersamaan 29 Zulkaedah 1442 Hijrah.
Jabatan Penerangan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah 29 tempat yang dilaporkan sebelum ini tidak tepat.
Katanya, menerusi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Majlis Raja-Raja sudah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah (Hari Raya Qurban) yang ditetapkan melalui radio dan televisyen,” katanya memetik kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
Lokasi bagi melihat anak bulan itu adalah di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka dan Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Di Selangor, Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, selain Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong di Perak.
Di Pulau Pinang, Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Ace serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pulau Langkawi, menara Alor Setar, Alor Setar, di Kedah dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.
Lokasi lain, Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman dan Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.
Di Sarawak, di Esplanade Luak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching manakala Sabah, di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan dan Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.
Di Pahang, Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong di Kuantan sementara di ibu negara, di Menara Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.
Sumber: Berita Harian