Tasik Kenyir Catat 4,582 Pengunjung Dalam Tempoh 15 Hari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Tasik Kenyir kembali menikmati perkembangan positif dengan mencatat kehadiran seramai 4,582 pengunjung dalam tempoh 15 hari selepas dibuka kepada orang ramai sejak 1 September lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Dato’ Razali Idris berkata, peningkatan jumlah itu dicapai walaupun prosedur operasi standard (SOP)  ketat yang memerlukan pengunjung tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, beliau menjangkakan akan berlaku peningkatan dari semasa ke semasa dan memberi impak positif kepada ekonomi penggiat pelancongan di sana.

“Pengusaha rumah bot dan bot laju turut menawarkan pakej istimewa dan potongan harga antara 5 hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah hari tempahan, hujung minggu atau hari biasa kepada pengunjung orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar.

“Mereka juga menerima banyak tempahan sepanjang bulan September dan Oktober,” katanya kepada pemberita.

Razali berkata tidak semua produk pelancongan di pulau itu dibuka kepada pelancong berikutan Terengganu masih berada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun katanya, suasana dijangka lebih meriah selepas Terengganu beralih kepada Fasa 3 PPN bermula Jumaat.

“Apabila dibuka sepenuhnya, ia akan memberi  memberi peluang kepada penggiat ekonomi pelancongan untuk kembali ‘bernafas’ dan menghidupkan kembali ekonomi mereka,”ujarnya.

Dalam masa yang sama, Razali berharap semua penggiat pelancongan Tasik Kenyir kekal patuh kepada SOP dan begitu juga kepada pelancong yang bercuti di sana.

Sumber: TRDI News