KUALA BERANG – Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022 yang mula dianjurkan semula tahun ini selepas kali terakhir pada tahun 2009 dijangka berjaya menarik kedatangan 15,000 pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata acara sukan lasak tersebut akan dijadikan sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri untuk mempromosikan Tasik Kenyir ke peringkat antarabangsa.
“Sukan jet ski ini bukan sahaja unik, malah mempunyai pengikutnya yang tersendiri di seluruh dunia.
“Oleh itu kami (kerajaan negeri) ingin membawa pengalaman sukan air bermotor bertaraf dunia ke Terengganu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan berasaskan sukan yang masih belum diterokai sepenuhnya,” katanya selepas majlis pelancaran Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022 oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pulau Poh, Tasik Kenyir hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Pertandingan selama tiga hari bermula semalam itu disertai 100 peserta tempatan dan dari negara sekitar benua Asia seperti Thailand, Brunei, Singapura, Jepun dan Indonesia.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan dengan hadiah keseluruhan yang ditawarkan bernilai hampir RM60,000.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM