Tatacara Solat Sunat Aidiladha Yang Mudah Untuk Difahami

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dalam bulan Zulhijjah, terdapat satu perayaan besar bagi umat Islam setelah Hari Raya Aidilfitri, iaitu dinamakan sebagai Hari Raya Aidiladha.

Ia diraikan oleh seluruh umat Islam saban tahun setiap 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Empat hari ini disyariatkan kepada kita umat Islam untuk melaksanakan ibadah sembelihan korban.

Jika dilakukan setelah empat hari ini, ia tidak akan dianggap sebagai ibadah korban akan tetapi sedekah.

Pun begitu, sebelum melaksanakan ibadah korban tersebut, pada pagi 10 Zulhijjah kebiasaannya umat Islam akan bersama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha serta mendengar khutbah.

Bagaimanakah cara-cara untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha? Adakah sama seperti solat sunat ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri? Berikut dikongsikan;

Solat sunat ini dilaksanakan sebanyak dua rakaat dan digalakkan untuk dilaksanakan secara berjemaah di masjid atau surau.

Rakaat Pertama

1.Mulakan dengan takbiratulihram beserta niat

“Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat tunai (imam/makmum) kerana Allah Taala.”

2.Membaca doa iftitah.

3.Mengangkat tangan dan bertakbir sebanyak 7 kali. Selang antara takbir tersebut hendaklah dibacakan dengan bacaan tasbih,

“Subhanallah walhamdulillah wa la ilaha illallah wallahu akbar wala hawla wala quwwata illa billahil aliyyilazim” yang bermaksud, “Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”

4.Membaca Al-Fatihah.

5.Membaca apa-apa surah dari Al-Quran (disunatkan untuk membaca surah Al-A’la pada rakaat pertama).

6.Rukuk, sujud dan iktidal seperti biasa sehingga selesai rakaat pertama.

Rakaat Kedua

1.Mengangkat tangan dan takbir sebanyak 5 kali. Selang antara takbir tersebut hendaklah dibacakan dengan bacaan tasbih (seperti rakaat pertama tadi)

“Subhanallah walhamdulillah wa la ilaha illallah wallahu akbar wala hawla wala quwwata illa billahil aliyyilazim” yang bermaksud, “Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”

2.Membaca Al-Fatihah.

3.Membaca apa-apa surah dari Al-Quran (disunatkan untuk membaca surah Al-Ghasiyah pada rakaat kedua)

4.Rukuk, sujud dan iktidal seperti biasa sehingga selesai rakaat kedua.

5.Memberi salam.

Selesai solat sunat Hari Raya Aidiladha, para jemaah akan menunggu sebentar untuk sama-sama mendengar khutbah yang akan disampaikan oleh khatib.

Khutbah Aidiladha biasanya dibaca sebanyak dua kali dan khatib akan melafazkan takbir sebanyak 9 kali pada khutbah yang pertama dan takbir 7 kali pada khutbah yang kedua.

Maka, selesailah solat sunat Hari Raya Aidiladha pada hari tersebut dan umat Islam bolehlah meneruskannya dengan ibadah sembelihan korban.

Diingatkan juga, sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha ini, kita disunatkan untuk tidak makan terlebih dahulu sehingga selesai mengerjakan solat.

Ini berbeza dengan solat sunat Aidilfitri yang disunatkan untuk menjamah sedikit makanan sebelum melaksanakan solat sunat.

Semoga perkongsian ini dapatlah memberikan kepada kita gambaran tentang apa yang akan dilakukan pada hari raya tersebut.

Sumber: TZKRH.COM