Tauliah pendakwah, penceramah ditarik jika beri maklumat tentang vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Tauliah pendakwah dan penceramah didapati menyampaikan kuliah yang bertentangan dasar kerajaan untuk memerangi penularan pandemik Covid-19 akan ditarik serta-merta.

Datuk Osman Muda

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kini melakukan pemantauan di semua masjid dan surau seluruh negeri berhubung perkara itu.

“Jika terbukti, bukan sahaja tauliah akan ditarik balik, malah berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Jawatankuasa masjid serta surau juga akan dikenakan tindakan kerana membenarkan golongan ini menyampaikan kuliah yang bertentangan dasar kerajaan terutama berkaitan vaksin Covid-19.

“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah mengeluarkan titah pada Rabu lalu menyeru seluruh rakyat untuk segera mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Osman berkata, Maidam dan JHEAT seiring dalam membantu kerajaan menggalakkan rakyat mendapatkan vaksin dengan kempen kesedaran kepentingannya digerakkan termasuk melalui khutbah Jumaat di semua masjid.

Sumber: My Metro