Kuala Lumpur: Keputusan tawaran ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi akademik 2021/2022 dijangka diperoleh hujung Julai ini.
Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi Wahi Nordin hari ini berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan berusaha untuk mempercepatkan keputusan tawaran ke IPTA dan IKLA.
“Walaupun tarikh kemas kini dilanjutkan, KPT bersama IPTA dan ILKA akan berusaha mempercepatkan proses pemilihan,” ulas beliau ketika ditemuramah dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Bernama TV.
Semalam, KPT mengumumkan permohonan UPUOnline dilanjutkan sehingga 2 Julai berbanding pada 21 Jun sebelum ini.
Mengulas mengenai pelanjutan tarikh kemas kini UPUOnline, Wahi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ada sesetengah calon masih berstatus ‘T’ iaitu belum menerima keputusan yang lengkap bagi mata pelajaran tertentu disebabkan faktor situasi Covid-19 ketika mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
“Kami memerlukan fail induk (keputusan yang lengkap) untuk dimuat naik dalam sistem UPUOnline bagi membuat pemilihan. Namun pelajar yang masih berstatus ‘T’ masih boleh mengisi dahulu UPUOnline dan memilih kursus yang bersesuaian dengan minat mereka sementara menunggu keputusan yang lengkap,” katanya.
Wahi juga berkata, setakat ini pihaknya menerima 250,000 permohonan dan beliau menyeru calon SPM 2020 yang belum membuat permohonan untuk segera berbuat demikian.
Mengenai dakwaan bahawa seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) calon SPM 2019 yang gagal mendapat tawaran yang dimohon di sebuah IPTA dikatakan berpunca daripada keadaan fizikalnya, Wahi berkata, tidak wujud sebarang diskriminasi terhadap sesiapa pun yang memohon dalam UPUOnline.
“Kursus yang akan ditawarkan adalah berdasarkan data yang diperoleh, termasuk kemudahan yang disediakan di sesebuah IPT berkenaan,” jelas beliau.
Sumber: My Metro