KUALA TERENGGANU – Walaupun cemerlang membantu bekas pasukannya, Terengganu FC (TFC) musim ini, penyerang, Kipre Tchetche menjelaskan dia masih ‘belum berpunya’ dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Malah pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar peminat setia TFC sebagai ‘Drogba Ganu’ itu mengakui setakat ini belum ada perbincangan dengan mana-mana pasukan dalam Liga M yang mahukan khidmatnya.
Justeru pemain berusia 35 tahun yang mula beraksi dalam Liga M sejak pertengahan musim 2017 bersama Terengganu ketika bawah bimbingan Irfan Bakti Abu Salim, membayangkan bakal meninggalkan kancah liga itu walaupun sukar berbuat demikian selepas enam musim bermain dalam Liga M.
Namun katanya, dia belum membuat keputusan muktamad lagi sama ada bakal ‘angkat kaki’ berhijrah di liga negara lain kerana masih menanti tawaran daripada mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
“Impian saya mahu beraksi dalam Liga M, namun setakat ini saya belum mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan dalam Liga M.
“Jadi saya akan pulang dahulu bersama keluarga dan selepas itu saya akan membuat keputusan sama ada bakal beraksi di kelab negara lain atau kekal bermain dalam Liga M.
“Namun sejujurnya saya sudah jatuh hati beraksi dalam Liga M terutama selepas enam musim di negara ini, jika ada peluang saya mahu terus kekal,” kata Tchetche.
Berdasarkan rekod jaringannya musim ini sepanjang 24 penampilannya, pemain berketinggian 1.72 meter itu muncul penjaring terbanyak skuad Penyu selepas meledak keseluruhan 19 gol termasuk Liga Super 13 gol dan masing-masing tiga gol dalam kancah Piala Malaysia dan Piala FA berbanding rakan seposisinya, Kpah Sherman 13 gol dan Faisal Halim 11 gol keseluruhan.
Pemain yang pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC musim 2020 dan 2021 bersama Sherman berjaya meledak satu gol pada aksi final Piala FA ketika pasukannya tumpas 1-3 kepada gergasi Liga M, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Musim ini Tchetche bersama rakan sepasukannya boleh dikatakan cemerlang membantu TFC muncul naib juara Piala FA, menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua serta mara ke pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan dan separuh akhir Piala Malaysia.
– BERITA HARIAN