Islam menganjurkan umat manusia supaya saling menegur dan menasihati antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat. Budaya menegur dan menasihati adalah perbuatan yang terpuji. Ia bertujuan supaya manusia sentiasa menyedari kelemahan, kealpaan dan kesalahan yang dilakukan.
Di dalam sebuah hadis daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Agama itu nasihat. Kami bertanya: ‘Kepada siapa?’ Baginda bersabda: “Kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada rasul-Nya, kepada pemimpin kaum Muslimin dan kaum Muslimin secara umum.” (Riwayat Muslim)
Jika amalan saling menegur tidak dibudayakan dalam kehidupan, maka tiada tindakan pembetulan yang dilakukan, tiada usaha penambahbaikan, tiada usaha penambahbaikan, bahkan kejahilan dan kesesatan dibiarkan berterusan.
Oleh itu, nasihat dan teguran mestilah dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Nasihat dan teguran juga mestilah dibuat dengan berhemah supaya orang yang dinasihati dapat menerima dengan hati yang terbuka.
Sesetengah orang menganggap teguran adalah kritikan, aduan, pandangan dan pelbagai istilah yang lain. Walau apa pun istilah yang digunakan, teguran perlu disampaikan berlandaskan sifat yang rasional dan tidak dipengaruhi dengan sentimen dan emosi berlebihan.
Teguran juga haruslah tidak bersifat keterlaluan sehingga mendedahkan keaiban dan mempersendakan orang lain.
Meskipun amalan menegur dapat memberikan manfaat ke arah kebaikan, namun adab dan akhlak dalam menyampaikan teguran mestilah sentiasa dipelihara. Teguran perlu disampaikan dalam keadaan yang tenang dan bukan dalam keadaan yang marah.
Terdapat beberapa kaedah dan adab yang dapat diamalkan dalam menyampaikan teguran. Antaranya adalah memberikan nasihat dan teguran dengan bahasa dan nada yang sopan, bukan dengan nada yang kasar dan angkuh. Ini kerana, nasihat dan teguran bukan bertujuan untuk mengaibkan seseorang.
Berilah nasihat dan teguran ketika bersendirian atau berada di tempat yang tertutup dengan adab yang cermat. Elakkan dari menegur dan menasihati orang lain di depan khalayak ramai jika perkara tersebut tidak didedahkan kepada pengetahuan umum. Gunakan perkataan yang baik supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.
Sampaikanlah teguran dan nasihat dengan fikiran yang rasional dan bukannya dengan emosi yang tidak terkawal supaya orang lain tidak berkecil hati di atas nasihat dan teguran yang diberikan.
Sampaikanlah nasihat dan teguran sebagaimana kita inginkan diri sendiri ditegur atau dinasihati. Sentiasa bersangka baik terhadap orang yang menerima nasihat dan teguran kerana mungkin mereka tidak menyedari kesalahan dan kesilapan yang dilakukan.
Penggunaan media sosial menyediakan ruang interaksi dan komunikasi tanpa batasan dalam masyarakat kadangkala membuatkan kita terleka mengenai adab dan akhlak dalam memberi teguran. Sesetengah orang merasa berhak membuat teguran kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja tanpa berfikir dengan matang.
Oleh itu, marilah kita muhasabah diri agar mengembalikan semula tujuan sebenar memberi teguran supaya ia dapat memberi manfaat kepada orang lain dan bukannya mengundang kemudaratan kepada orang lain.
Terimalah nasihat dan teguran yang disampaikan dengan perasaan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan sampaikanlah nasihat dengan adab terbaik supaya hubungan persaudaraan sesama insan terpelihara.
Sumber: HARIAN METRO