Teknologi CMA Bantu Lonjak Pasaran Getah Negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berusaha memperluaskan penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya bagi membantu meningkatkan pengeluaran getah negara.

Menterinya, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan, pihaknya telah berbincang dengan The Iskandar Regional Development Authority (IRDA) untuk memperluaskan penggunaan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) dan teknologi turapan bitumen sekerap terubahsuai (CMB) bagi laluan baru sepanjang 20 kilometer (km) yang akan dikembangkan IRDA.

“Kerjasama ini bagi memperluaskan penggunaan getah beku yang merupakan bahan komoditi utama tempatan sekaligus meningkatkan pengeluaran getah serta harganya di pasaran.

“Walaupun penggunaannya untuk peringkat awal lebih mahal iaitu sekali ganda kos asal, tetapi ia memberi keuntungan jangka masa panjang dari segi penyelenggaraan kerana lebih tahan. Itu hasrat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menyantuni beberapa keluarga berbangsa Tionghua di Taman Wakaf Tembesu, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, teknologi tersebut telah diperkenalkan sebelum ini, namun perlu diperluaskan lagi.

“Sebelum ini, teknologi CMA dan CMB sudah berjaya digunakan bagi jalan selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) sepanjang 200 km.

“Kita berhasrat melaksanakannya bersama kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri bagi pembangunan jalan-jalan kampung,” katanya.

Jelasnya lagi, usaha itu akan membantu dari sudut pembelian harga getah dan melonjakkan pendapatan pekebun kecil.

“Sekarang kita bergantung kepada harga dunia yang tidak boleh dikawal.

“Tetapi untuk pembelian dalam negara oleh syarikat yang membekalkan CMA dan CMB, kita mahu mereka membeli dengan harga tinggi daripada pengusaha kecil dan ini akan meningkatkan pengeluaran getah beku kita,” katanya.

Sumber: TRDI News