Teknologi Projek Rintis Akuaponik RM1.2 Juta Jimat Gunapakai Tanah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN – Projek Perintis Sistem Akuaponik bernilai RM1.2 juta di Serandu merupakan sebuah projek unik yang mengambil pendekatan menggunakan teknologi bagi mengurangkan keluasan kawasan tanah yang dimajukan bagi menjalankan projek ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata projek rintis Serandu Aquaponic System (SAS) ini dibangunkan di kawasan seluas satu ekar sahaja.

“Uniknya saya nak maklumkan dengan pendekatan yang diambil ini teknologi ini tidak memerlukan keluasan yang besar dan ini sebenarnya yang kita mahukan.

“Kita tak boleh kata Pahang ni negeri yang besar, kita buat projek yang besar-besar. Tidak. You dont need that. Sebab teknologi ini salah satu kelebihan dia ialah dia tidak memerlukan satu kawasan yang terlalu besar.

“Tapi kalau kita nak maju dan jayakannya, kalau dia buka yang lebih besar, lagilah impak dia ROI dia tinggi, dan produktiviti dia meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Syarikat Aquaponic System Sdn. Bhd (SAS) di Serandu hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Azahari Haji Othman; Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Encik Abdullah Jaafar; Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman; Pengerusi Syarikat Aquaponic System Sdn. Bhd., YH. Dato’ Mohd. Azmi Mohd Amin; dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan projek agroponik ini berbeza jika dibandingkan dengan projek agro yang telah pun dijalankan yang memerlukan kawasan tanah yang luas untuk dibangunkan.

“Jadi kita dengan penggunaan teknologi ini kita nak yakin kepada pengusaha-pengusaha dengan aplikasi teknologi dan kolaborasi dengan pihak yang ahli dan dalam kontaks ini UPM merupakan pihak yang ahli dan dengan komitmen yang penuh daripada para usahawan yang komited, insyaAllah perkara ini boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau dalam majlis tersebut turut menyaksikan majlis menandatangani UPM menerusi Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) UPM bersama Serandu Aquaponic System Sdn. Bhd. (SAS) dalam usaha meningkatkan perkembangan dan penyelidikan bagi memperkasakan industri akuakultur di Pahang.

Sumber : PAHANGMEDIA