Tekong Dibayar RM300 Satu Kepala

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Cubaan dua lelaki yang berperanan sebagai tekong menyeludup 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) gagal apabila kegiatan mereka dikesan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di hadapan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Islamiah Pasir Mas, di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian jam 8.22 malam itu, anggota menahan dua kenderaan Hyundai Starex berwarna perak dan hitam dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dua pemandu kenderaan masing-masing berusia 24 dan 34 tahun berasal daripada Johor membawa kesemua Pati iaitu lapan di kereta pertama dan 10 penumpang kereta kedua.

“Hasil soal siasat awal mendapati kesemua Pati terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita ini adalah warganegara Myanmar yang masuk ke dalam negara tanpa sebarang dokumen perjalanan sah dan permit perjalanan.

“Manakala, dua pemandu terbabit bertanggungjawab sebagai ejen (tekong) untuk membawa Pati dari sempadan Malaysia-Thailand ke Johor Bahru bagi tujuan bekerja di lokasi yang masih belum pasti.

“Tekong berkenaan mengaku dibayar sebanyak RM300 untuk membawa seorang Pati yang ke destinasi yang dituju,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, semua yang ditahan termasuk kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi tujuan laporan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita tidak menolak kemungkinan, tekong berani menjalankan kegiatan menyeludup Pati kerana mendapat upah yang lumayan selain bertindak menjalankan aktiviti ini pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: My Metro