Tempoh Makan Di Kedai Akan Dilonggarkan Jika Covid-19 Pulih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima cenderahati pada Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang Darul Makmur di Auditorium Aqua Crystal Hall, Kampus Utama UCYP hari ini.

KUANTAN, 18 MAC 2021: Kerajaan Pahang akan melonggarkan tempoh satu jam kebenaran bagi setiap pelanggan berada di premis makanan di negeri ini sekiranya rakyat boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan penularan pandemik semakin baik.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketika ini Pahang masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan arahan makan di kedai yang dibenarkan hanyalah satu jam.

Bagaimanapun katanya, sekiranya keadaan penularan pandemik itu semakin baik, Kerajaan Negeri sedia memanjangkan tempoh masa sehingga dua jam.

“Kita tidak berniat untuk menyusahkan rakyat, tetapi ada segelintir rakyat yang mengambil mudah perkara ini. Jadi, sebaiknya apabila sudah selesai makan terus balik dan memberi peluang kepada pelanggan lain,” katanya.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian Pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang Darul Makmur di Auditorium Aqua Crystal Hall, Kampus Utama UCYP, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin, barisan EXCO Kerajaan Pahang, Pengarah Tourism Malaysia Pahang, YH. Dato’ Ishak Mokhtar dan Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, langkah itu bertujuan untuk menjaga rakyat Pahang daripada penularan wabak COVID-19.

Pada 11 Mac lalu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang dalam satu kenyataan berkata, pelanggan hanya dibenarkan berada di premis makanan dalam tempoh satu jam.

Premis makanan juga perlu memastikan jarak satu meter antara meja dan kapasitinya bergantung berdasarkan saiz dan penjarakan fizikal satu meter.

Sumber: PAHANGMEDIA