Ten Hag Akur Dicemuh Penyokong Sendiri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER: Erik ten Hag berkata dia memahami cemuhan penyokong Manchester United selepas kelab merakam permulaan musim terburuk dalam tempoh 34 tahun.

Kekalahan 1-0 kepada Crystal Palace di Old Trafford adalah yang keempat mereka dalam tujuh aksi Liga Perdana Inggeris musim ini – menyamai rekod memalukan pada tahun 1989 yang hampir menyebabkan Alex Ferguson dipecat.

“Saya faham. Kami bermain di laman sendiri dan menentang Crystal Palace – kami perlu menang.

“Saya sedar setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris adalah sukar. Anda perlu menampilkan aksi terbaik dan saya faham penyokong mahukannya.

“Ia permulaan yang buruk dan kami perlu bangkit. Kami perlu lakukan lebih baik. Ini masih belum mencukupi,” kata pengendali dari Belanda itu.

Selepas kemenangan liga ke atas Burnley dan Palace dalam aksi Piala Liga pada Selasa, United dilihat berada di landasan terbaik untuk melupakan permulaan buruk musim ini.

Bagaimanapun jaringan minit ke-28 Joachim Andersen sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat skuad kendalian Roy Hodgson di Old Trafford.

Hodgson menjadi pengendali kedua selepas Pep Guardiola memenangi tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris berturut-turut di Old Trafford.

“Ia keputusan kegemaran saya ketika ini, tetapi mungkin akan ada yang lain lagi. Pujian buat pemain, terutama selepas malam Selasa yang mengecewakan,” kata Hodgson.

– BERITA HARIAN