Ten Hag Mahu Pemain Baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Erik ten Hag berang dengan persembahan Manchester United kendaliannya selepas dibelasah 4-0 oleh Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Pengendali dari Belanda itu berkata, pemain-pemainnya perlu bertanggungjawab selepas deretan kesilapan individu membawa kepada kekalahan memalukan di Stadium Komuniti Brentford itu.

Ten Hag, 52, berkata skuadnya perlu diperkuat dengan pemain-pemain lebih berkualiti.

“Ia mengarut, dan teruk sekali. Kami perlu standard lebih tinggi daripada itu, ia jelas sekali.

“Dalam tempoh 35 minit dan dibolosi empat gol. Itu tidak sepatutnya berlaku. Pasukan perlu bertanggungjawab. Saya simpati dengan peminat. Kami mengecewakan mereka.

“Anda perlu bertanggungjawab di atas padang. Sebagai satu pasukan dan individu, itu perkara yang kami tidak lakukan.

“Apa yang saya minta ialah bermain dengan keyakinan serta bertanggungjawab di atas persembahan mereka,” kata Ten Hag.

Pada minit ke-10, David De Gea mudah ditewaskan pemain Brentford Josh Dasilva. Lapan minit kemudian Mathias Jensen menambah jaringan untuk tuan rumah.

Pada minit ke-30 dan 35, Ben Mee serta Bryan Mbeumo menambah derita United yang kini di tangga tercorot liga selepas tewas kedua-dua perlawanan pertama.

Ten Hag mengakui dia juga bertanggungjawab di atas prestasi hambar anak buahnya, tetapi keputusan positif hanya dapat diterjemahkan menerusi pemain di atas padang.

“Pengendali juga bertanggungjawab. Dia memainkan peranan utama dan saya mengakuinya, saya akan berusaha. Saya akan cuba membuatkan mereka lebih yakin, tetapi mereka perlu memupuknya sendiri.

“Jelas sekali banyak kesilapan individu. Ia tidak sepatutnya berlaku dan kami perlu mengatasinya.

“Kami perlu pemain-pemain baharu, pemain berkualiti. Kami sedang berusaha dan kami akan cuba yakinkan mereka untuk datang,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN