Tender tak dapat, rugi RM50,370 diperdaya rakan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Kontraktor binaan mendakwa kerugian RM50,370 selepas diperdaya rakan sendiri berkaitan tender pakaian tidak wujud.

Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa berbincang bersama rakan lelakinya pada Julai lalu mengenai projek tender kerajaan dan swasta bagi menghasilkan pakaian.

Beliau berkata, mangsa yang bersetuju dengan tender ditawarkan oleh rakan yang dikenalinya sejak empat tahun lalu kemudian menyerahkan modal keseluruhan berjumlah RM50,370.

“Bagi urusan berkenaan, mangsa melakukan 13 transaksi ke nombor akaun suspek (rakan) secara berperingkat bermula 28 Julai hingga 15 September lalu.

“Selepas kesemua pembayaran dibuat, mangsa bertanya kepada suspek mengenai pulangan yang dijanjikan, namun rakannya itu tidak menjawab panggilan telefon dan gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber: My Metro