Tengah Hari Tanpa Bayang Di KL, Putrajaya, Shah Alam Hari Ini – MOSTI

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam hari ini akan mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang.

Fenomena itu akan dapat dialami penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 1.19 tengah hari manakala di Shah Alam pada 1.20 tengah hari.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata beliau mahu seluruh Keluarga Malaysia menghayati fenomena itu.

“Orang ramai digalakkan keluar rumah lebih awal untuk memerhatikan perubahan bayang-bayang sendiri atau bayang-bayang objek-objek lain di sekitar kawasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fenomena itu digelar sedemikian kerana pada waktu tengah hari, matahari akan berada tepat di atas kepala setiap orang di atas sepanjang garisan khatulistiwa menyebabkan bayang kepala dan badan akan terjatuh ke tapak kaki seolah-olah tiada bayang yang jatuh ke bumi.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mula mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang  semenjak Rabu lepas (23 Mac) di bandar-bandar di Sarawak iaitu Serian, Sri Aman dan Betong serta Kukup di Johor.

Negara akan terus mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang diikuti bandar-bandar lain pada tarikh berikutnya sehinggalah ke bandar terakhir iaitu Kudat dan Jambongan di Sabah pada 7 April.

Fenomena itu merupakan susulan daripada Peristiwa Ekuinoks yang berlaku pada Isnin lepas (21 Mac) apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.

Semasa Peristiwa Ekuinoks, seluruh dunia mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam selain turut menandakan bermulanya musim bunga di hemisfera utara bumi dan musim luruh di hemisfera selatan.

Sumber: BERNAMA