Tengku Hassanal Zahir Penghargaan Kepada Kerajaan Persekutuan Bantu Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemberian peruntukan membantu rakyat Pahang.

Baginda merujuk kepada jaminan kerajaan Persekutuan meneruskan projek tebatan banjir termasuk di Pahang yang kerap dilanda bencana itu, selain kelulusan lebih RM400 juta peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) kepada negeri ini.

“Menerusi peruntukan ini, saya berharap isu kerosakan jalan raya dapat diselesaikan untuk memberikan keselesaan kepada pengguna.

“Saya menyeru kerajaan saya menubuhkan pasukan tindakan serta fokus supaya proses baik pulih jalan rosak dapat disegerakan.

“Jangan nanti musim tengkujuh tiba baru tender atau sebut harga hendak dikeluarkan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Berhubung projek tebatan banjir, Tengku Hassanal berhasrat projek itu dapat dilaksanakan segera memandangkan ribuan rakyat terkesan dengan bencana tersebut, selain turut ‘menasihatkan’ supaya pelaksanaan projek di Pahang tidak lewat daripada jadual.

“Projek yang patut siap awal, rugi jika lewat disiapkan. Lambat rakyat saya merasa nikmatnya.

“Kepada kontraktor yang melaksanakan projek, buat betul-betul. Gunakan bahan bermutu tinggi mengikut spesifikasi (dan) jangan curi-curi,” titah Tengku Hassanal.

Selain itu, Tengku Hassanal juga mengingatkan semua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang untuk berkhidmat dengan jujur dan penuh berintegriti serta tidak menjadikan jawatan yang ada untuk bermegah atau menunjuk.

Semua ADUN juga dinasihatkan untuk berganding bahu membangunkan negeri demi kepentingan rakyat, dengan fokus kepada permasalahan seperti bekalan air, jalan raya, banjir, peluang pekerjaan dan keselamatan.

“Saya harus berikan pujian, kerajaan saya sekarang dalam landasan yang betul. Hasil negeri meningkat dan ada pelbagai inisiatif untuk rakyat, namun masih ada banyak yang boleh ditambah baik.

“Kepada pembangkang berilah idea membina yang boleh membantu kerajaan…janganlah menghentam semua yang kerajaan buat.

“Apa yang baik berilah pujian dan apa yang kurang berikan pandangan,” titah Tengku Hassanal.

Baginda bertitah kerajaan negeri juga perlu meraikan pembangkang yang dipilih rakyat antaranya menerusi peruntukan adil juga diberikan kepada pihak terlibat, mengambil kira landskap politik harus matang selepas 66 tahun merdeka selain rakyat juga mahu kestabilan.

Selain itu, Tengku Hassanal turut menyarankan pegawai kerajaan dan penjawat awam perlu bergerak pantas dan laju selain mengingatkan majikan swasta ‘memulangkan’ balik kepada kerajaan dalam bentuk cukai, zakat dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Apabila sudah untung lebih jangan lupa beri semula kepada pekerja, ada untung lebih bayarlah gaji pekerja lebih sikit atau bonus yang lebih baik, mereka sudah pasti akan berbelanja, maka usahawan atau yang bekerja sendiri pula dapat merasa manisnya,” titah Tengku Hassanal.

– BERNAMA