Terbaik Sarjan Mejar Maznan!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Ketua Polis Pahang menzahirkan perasaan bangga atas tindakan berani Ketua Balai Bukit Tinggi, Sarjan Mejar Maznan Omar menyelamatkan seorang remaja perempuan yang cuba terjun dari jambatan di KM 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat susur Berjaya Hills Bukit Tinggi, Bentong semalam.

Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tindakan pantas Maznan berjaya menyelamatkan remaja berkenaan, dan ia sememangnya wajar dipuji.

“Ini amat membanggakan kerana (tindakan pantas Maznan berjaya) menyelamatkan satu nyawa daripada mengambil tindakan sendiri.

“Dalam kes ini, saya menasihati remaja yang mempunyai tekanan perasaan supaya merujuk kepada pakar tertentu untuk menyelamatkan mereka daripada kemurungan,” katanya pada sidang media di sini.

Video Maznan menyelamatkan remaja berusia 16 tahun itu dengan menarik remaja berkenaan dari belakang sebelum dibantu anggota turut tular di media sosial dan mendapat pujian ramai.

Mangsa didakwa tertekan selepas ditegur kerana sering bermain permainan video di telefon bimbit dan bapanya turut merampas telefon itu.

Ketika proses memujuk, Ketua Balai Polis Bukit Tinggi sempat berlari ke arah mangsa dan menariknya dari belakang.

Pada masa sama, Abd Jalil turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman yang turut membantu.

Sumber: My Metro