SETIU – Ladang Informasi Veterinar milik kerajaan negeri Terengganu di Kampung Bari, Setiu bakal muncul sebagai pengeluar baka ternakan rusa jenis Timorensis terbesar menjelang tahun 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, jangkakan ladang itu mampu mengeluarkan 250 ekor baka rusa berkenaan dalam tempoh dua tahun.
Menurut Azman, usaha berkenaan membolehkan mereka yang berminat menternak haiwan berkenaan mendapatkan baka berkualiti dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Ramai rakyat Terengganu telah menceburi walaupun secara kecil-kecilan tetapi setakat maklum balas kita dapat ia perusahaan yang berpotensi yang pertama kerana rusa ni cepat membiak.
“Yang kedua ia lasak dan tahan penyakit dan yang ketiga harga ataupun pulangan ekonomi yang tinggi.
“Jadi walaupun diusahakan secara kecil-kecilan memang potensinya sangat cerah, cuma yang menghadkan potensi pengembangan ini adalah masalah kekurangan baka,” katanya.
Menurut Azman, Projek Ternakan Rusa Nukleus adalah antara program yang dirancang dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023.
Ia dibangunkan pada tahun 2020 dengan kos keseluruhan sebanyak RM725,000.
Sehubungan itu, beliau yakin masalah kekurangan baka rusa untuk ternakan di negeri itu dapat diatasi sepenuhnya dengan kewujudan pusat ternakan berkenaan.
Sumber: AWANI