Terengganu Bakal Terima Dana Khas Kerajaan Persekutuan Akhir Bulan Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Terengganu dijangka menerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) daripada Kerajaan Pusat, pada hujung bulan ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui jumlah bayaran yang bakal diterima Kerajaan Terengganu.

“Pembayaran ini bergantung pada harga minyak tahun lalu dan kita tidak tahu berapa jumlahnya.

“Kita tengoklah dan saya jangkakan mungkin sebelum akhir bulan ini duit akan masuk kepada negeri Terengganu.

“Jadi, kita akan tahulah ia banyak mana atau sedikit. Namun, kita anggarkan agak banyak juga berdasarkan harga minyak yang tinggi tahun lalu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas pertemuan dengan Anwar, Ahmad Samsuri berkata, beberapa perkara penting dibincangkan, antaranya projek pembangunan dan kewangan kerajaan negeri ini.

“Perjumpaan itu berlangsung dengan keterbukaan dan beberapa keputusan penting akan dilaksanakan Perdana Menteri,” katanya.

– BERITA HARIAN