KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu membenarkan operasi bazar Ramadan pada tahun ini mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak penularan Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah mengenal pasti lokasi serta jumlah tapak jualan yang sesuai.
“PBT juga sedang mengeluarkan permit kebenaran jualan kepada peniaga.
“Bagaimanapun, kebenaran ini bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan arahan terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan penularan varian Omicron,” katanya baru-baru ini.
Dalam perkembangan berbeza, Dr Alias menyarankan orang ramai agar mengambil dos penggalak dan membenarkan anak mereka berusia lima hingga 11 tahun diberi suntikan vaksin bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, usaha itu juga penting sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Mei nanti.
“Kanak-kanak merupakan golongan rentan yang paling terdedah kepada jangkitan Covid-19 kerana belum mendapat vaksin.
“Hanya 12 peratus atau 21,901 orang dari 124,206 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang layak menerima vaksin Covid-19 negeri ini sudah mendaftar melalui MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin, jumlah ini masih rendah,” katanya.
Jelas Dr Alias, kenaikan kes mendadak setiap hari pada masa ini adalah disebakab kewujudan gelombang Omicron.
Sumber: TRDI