Terengganu Catat Kes COVID-19 Tiga Digit Berturut-turut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Terengganu merekodkan kes baharu COVID-19 tiga digit untuk tiga hari berturut-turut.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi binti Yunus berkata, berlakunya penularan yang sangat besar di Terengganu ketika ini disebabkan oleh beberapa kluster dengan bilangan kes yang sangat ramai. 

“Antaranya, Kluster Kebor Air, bayangkan jumlah kes kluster ini seramai 91 orang. Masih ada pertambahan kes nanti. Bayangkan kontak rapat untuk bilangan kes seramai ini. Tentulah ianya mengambil masa sedikit untuk reda.

“Kluster Kg Bukit Biah Hulu Terengganu. Kluster ini datang jauh dari Wilayah Persekutuan. Mereka naik bas bersama- sama. Bayangkan dari seramai 29 penumpang bas, seramai 21 positif. Akhirnya menjangkiti ahli keluarga yang lain. Total kes kluster ini seramai 59 orang. Virus dalam bas ini masih lagi bergerak.

“Kluster Guntung Luar juga masuk dari sebuah perhimpunan di Kuala Lumpur. Akhirnya balik sekali ke Terengganu. Seramai 15 orang telah dijangkiti,” ujarnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, hari ini.

Sementara itu katanya, Kluster OKT yang dikesan di penjara dan merupakan closed community, justeru risiko menular dalam komuniti adalah rendah.

“Ada lagi beberapa kluster yang masih aktif yang melibatkan sekolah dan lain-lain,” ujarnya.

Nor Azimi berkata, sekiranya pergerakan dikawal, berkumpulan ditangguhkan dan semua patuh SOP, kluster- kluster begini boleh dielakkan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, Kluster Kebor Air didaftarkan atas alamat kes pertama kluster tersebut dan ia bukan berpusat di kampung itu.

“Sebaliknya ia melibatkan Kluster tempat kerja. Sudah menjadi satu syarat semua kluster akan didaftar mengikut alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja kes indeks. 

“Setakat ini tiada kes lain dikesan di Kampung Kebor Air kecuali kes indeks. Justeru sangat tidak wajar penduduk Kg Kebor Air dipulaukan atau dinafikan hak untuk memasuki mana-mana premis,” jelasnya.

Sumber: TRDI News