KUALA LUMPUR: Terengganu FC berpesta gol malam tadi dengan membenam Perak FC, 5-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, dalam aksi Liga Malaysia yang bersambung semula selepas berehat lebih dua bulan.
Kemenangan itu sekali gus membantu skuad Penyu, yang berada di tempat kedua Liga Super selepas 14 perlawanan, berkongsi kutipan 30 mata dengan pendahulu carta Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempunyai kelebihan jaringan dan kurang satu perlawanan berbanding TFC.
Pada aksi malam tadi, skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain membuka jaringan menerusi Faisal Abdul Halim pada minit ke-19, diikuti jaringan penalti pemain import dari Brazil David Da Silva lima minit kemudian dan jaringan sendiri Charles Machell pada minit ke-42.
Bersambung babak kedua, Mohamad Hakimi Abdullah menambah derita buat skuad Bos Gaurus menerusi jaringan pada minit ke-71, sebelum pemain muda Nik Akif Syahiran Nik Mat menambah kenduri gol dengan melengkapkan penalti pada masa kecederaan .
Derbi Lembah Klang antara Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras berkesudahan dengan keputusan terikat 1-1.
Kuala Lumpur terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Paulo Josue pada minit ke-40, namun skuad Gergasi Merah berjaya menyamakan kedudukan hanya dalam tiga minit menerusi jaringan Oliver Buff.
Sementara itu, jaringan minit-minit terakhir Sunil Chandran (90′) membantu Petaling Jaya (PJ) City FC mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Perlawanan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang FC pada pukul 9 malam ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar terpaksa ditunda apabila dua pemain pasukan tuan rumah disahkan positif COVID-19.
Negeri Sembilan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk merampas kedudukan teratas Liga Premier apabila sekadar terikat tanpa jaringan menentang Selangor FC 2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sarawak United kekal di persada liga dengan 24 mata selepas 11 perlawanan setakat ini, manakala Negeri Sembilan yang telah beraksi dalam 12 perlawanan, menghuni tempat kedua dengan 23 mata.
Terdahulu, aksi petang tadi menyaksikan Kelantan FC hampir dimalukan oleh skuad Projek FAM-MSN, sebelum bangkit mencatatkan kemenangan tipis 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Azhad Harraz Arman pada minit ke-54 dengan harapan meraih kemenangan pertama, namun jaringan pemain import dari Greek Christos Intzidis pada minit ke-54 dan Ismail Ibrahim pada minit ke-90 menafikan impian itu.
Sumber: BERNAMA