FINALIS Piala Malaysia 2023, Terengganu FC (TFC) tekad bangkit untuk mengharungi musim mencabar tahun depan meskipun dalam keadaan serba kekurangan.
Tekad itu diluahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim yang mahu menjadikan seteru aksi final minggu lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai model kebangkitan.
Malah beliau berkata, pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terbuka untuk melihat skuad Penyu menjadi pasukan yang lebih baik dalam arena bola sepak negara.
“Skuad JDT yang serba lengkap dan menjadi model buat pasukan bola sepak lain di tanah air akan terus dijadikan model buat TFC.
“Saat bersaing di padang, TFC pasti akan memberikan saingan yang paling kompetitif menentang JDT. Di luar aksi padang, TFC tetap memburu bimbingan daripada TMJ untuk terus memperkasakan pasukan.
“Baginda sentiasa bersikap terbuka dan sangat berbesar hati untuk melihat TFC menjadi pasukan yang perlu digilap untuk masa depan yang lebih baik dalam kancah bola sepak negara,” katanya menerusi catatan di Facebook peribadinya pada Rabu selepas bertemu TMJ baru-baru ini.
Dalam aksi final Piala Malaysia 2023, JDT berjaya mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan TFC 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu.
Hishamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TFC sedar bahawa kelab itu perlu sentiasa mengukur baju di badan sendiri dan memperkasakan pembentukan bakat-bakat baharu Terengganu yang lebih berprestij.
“Tahun 2024, musim yang sangat mencabar dalam aspek kewangan kelab. TFC akan berusaha berbelanja dengan sederhana,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan ke atas Tunku Ismail di atas kesudian menerima rombongan dari TFC baru-baru ini.
“Terima kasih atas pandangan dan saranan untuk mengangkat industri bola sepak di tanah air,” katanya.
– SINAR HARIAN