Arkitek Terengganu FC (TFC), Sanjar Shaakhmedov muncul wira pasukan apabila jaringan tunggalnya membantu TFC mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan Petaling Jaya (PJ) City 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.
Perlawanan yang sepatutnya bermula pada jam 9 malam dilewatkan hampir setengah jam kerana masalah garisan padang yang tidak jelas memaksa petugas bertungkus-lumus menyiapkannya.
Sebaik perlawanan bermula, TFC bermula garang dengan percubaan awal pada minit pertama menerusi tandukan Dominique Da Sylva hasil sepakan sudut Lee Tuck namun gagal menerjah gawang pelawat. Walaupun skuad Penyu terus mendominasi permainan tapi gagal memecah benteng pasukan The Phoenix yang kental bertahan.
Usaha berterusan skuad bimbingan Nafuzi Zain akhirnya membuahkan hasil apabila memperoleh gol menerusi rembatan kencang pemain tengah, Shaakhmedov pada minit ke-36 menjadikan TFC mendahului 1-0.
Jaringan itu berpunca daripada kesilapan pertahanan, Kim Bong Jin yang gagal menolak bola kepada rakan dengan kemas sebelum pemain kelahiran Uzbekistan itu memintas dan berjaya menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.
TFC akan bertemu Perak di peringkat suku akhir selepas Perak berjaya menewaskan Kelantan Utd FC FA 4 – 0.