Terengganu Inc. Berhasrat Membangunkan Loji Solar Terapung di Tasik Kenyir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu Inc. berhasrat mengkaji bagi kebolehlaksanaan projek pembinaan loji tenaga solar terapung melibatkan pelaburan dianggarkan lebih RM1 bilion di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, kajian kebolehlaksanaan tersebut penting untuk mengenalpasti beberapa aspek kritikal sebelum projek loji solar terapung berkapasiti 1,000 mega watt (MW) itu diputuskan sama ada boleh diteruskan atau tidak.

“Lepas kajian selesai, kita akan buat beberapa keputusan penting terhadap perlaksanaan seterusnya termasuk mencari dan menentukan rakan kongsi yang berminat samada Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kita sendiri atau pelabur luar,” ujarnya.

Terdahulu beliau menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berhubung projek tersebut dengan Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti yang berlangsung di Hotel Paya Bunga, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Terengganu Inc turut menyatakan bahawa projek yang merangkumi kawasan seluas 2,000 hektar dan anggaran kos melebihi RM1 bilion itu dikaji untuk dibangunkan di Tasik Kenyir bagi memaksimumkan penggunaan kawasan tersebut yang memiliki luas satu per tiga daripada Singapura.

Pada masa yang sama, Pengarah Eksekutif TI, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun menyuarakan bahawa kajian tersebut akan bermula dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang dan dijangka memakan masa antara lapan hingga 12 bulan untuk diselesaikan.

– UNIT BERITA MANIS FM