Terengganu Inc Perkenal Trek Baharu Sukan Berbasikal Lasak di Pulau Poh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU TERENGGANU – Syarikat perlaburan Induk Negeri Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) mencipta sejarah dengan pembukaan trek baharu melalui penganjuran julung kali sukan basikal lasak di Pulau Poh, Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program di bawah anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Terengganu Inc (TISAW) ini, merupakan insentif Terengganu Inc bagi membuka lebih banyak tempat strategik penganjuran sukan berbasikal di negeri Terengganu.

“Dan apa yang agak menarik, Terengganu Inc sentiasa membuka ruang baru, lokasi baru ataupun ‘port’ baru untuk penggiat sukan berbasikal dalam mereka menerokai tempat yang lebih strategik dan menarik di seluruh negeri Terengganu”.

“Pada penganjuran lepas, mereka membawa masuk ke dalam ladang di Setiu yang diberi nama International Golden Monsoon Ride dan kali ini penganjuran kali pertama lebih kepada memperkenalkan Tasik Kenyir kepada seluruh mata dunia”.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, kita merakamkan ucapan terima kasih dan berbangga dengan Terengganu Inc”, beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penutup  Kejohanan Terengganu Inc Challenge Series PTT Xco, Jamborace & Funrace 2023 di Pulau Poh, Tasik Kenyir pada Sabtu.

Trek perlumbaan ‘offroad’ yang berukuran 6 kilometer pada kejohanan kali ini akan dibuka kepada umum untuk pelbagai acara lain selepas ini .

Kejohanan kali ini menawarkan sebanyak 10 kategori terbuka yang membolehkan penyertaan peserta dari pelbagai kumpulan umur dengan nilai ganjaran yang ditawarkan keseluruhan mencecah RM100,000.

– UNIT BERITA MANIS FM