KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan kempen tiada beg plastik dan pemberian penyedut minuman dalam tempoh terdekat.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, kempen tersebut meliputi 63 buah Bazar Ramadan beserta penglibatan lebih 5342 peniaga Bazar Ramadan pada tahun ini.
“Bermula pada tahun ini iaitu fasa kedua, kempen ini sehingga tahun 2025 akan diperluas ke premis perniagaan lain seperti kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.”
“Sempena dengan majlis Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan yang berlangsung pada hari ini, suka untuk saya maklumkan bahawa pelaksanaan kempen bagi fasa kedua ini akan dimulakan dalam tempoh terdekat”.
“Secara dasarnya kempen ini diserahkan kepada pihak kerajaan Negeri di seluruh Malaysia dengan mengguna pakai kaedah pelaksanaan kempen mengikut kesesuaian negeri masing-masing”
Tambahnya lagi “Pelaksanaan kempen ini adalah kesinambungan daripada Pelan Hala Tuju Malaysia Sifar Plastik Sekali Guna Tahun 2018-2030 yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Alam Sekitar (KASA).”
“Program ini berbentuk dua fasa, Fasa pertama bermula daripada tahun 2018-2021 yang mana telah dilaksanakan pada hari Jumaat dan Sabtu, di beberapa premis kekal seperti pasaraya, kedai serbaneka, restoran makanan dan banyak lagi”
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2022 di Wisma Darul Iman.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM