KEMAMAN – Strawberry Park yang telah terbengkalai selama lebih 10 tahun bakal dijenamakan semula sebagai hotel lima bintang melalui kerjasama strategik di antara Terengganu Inc, pemillik tapak dan bangunan, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) serta pemaju yang berkaliber dan berkemampuan untuk membangun semula fasiliti tersebut.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek yang bernilai RM 150 juta akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan dan dijangka siap pada 2026.
Katanya, ketika ini kerja-kerja kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang dilaksanakan.
“Insya-Allah, apabila siap nanti, resort ini akan dilengkapi 10 blok dan 220 bilik jenis bilik premium dan pelbagai ‘suite’ berlatar belakang laguna yang sangat cantik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembangunan Semula Strawberry Park, Kijal bertempat di Hotel World Kijal semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, resort tersebut juga akan dilengkapi dua ruang makan, bilik mesyuarat berkapasiti 200 orang dan pelbagai kelengkapan lain seperti spa, ruang rekreasi air serta trek hutan.
Menurutnya, resort baharu itu dijangka menjadi pilihan bagi urusan perniagaan dan percutian mewah sekali gus dapat mempromosikan Terengganu sebagai destinasi teko-pelancongan.
“Strawberry Park sebelum ini merupakan sebuah resort persendirian dibeli oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM27 juta selepas resort tersebut bermasalah.
“Hasrat kerajaan negeri terdahulu untuk menjadikan resort itu juga sebagai institut jantung negara tidak berjaya dilaksanakan menyebabkan resort tersebut terbengkalai,” ujarnya.
Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyaksikan dua memorandum persefahaman (MoU) melibatkan projek di atas tanah milik LTAWNT yang ditandatangani Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulkifli Ali dan iKHASAS Land Sdn diwakili Pengarah Utusan Kumpulannya, Ir Tan Chee Kian.
MoU kedua mengenai kerjasama projek ditandatangani Pengarah Eksekutif Terengganu Inc Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dan Tan Chee Kian.
– UNIT BERITA MANIS FM